Mana bantuan baiki rumah?


KAMPUNG BUKIT ARA (TERENGGANU), 14 November - ‘Bagai menanti bulan jatuh ke riba’. Begitulah nasib seorang ibu tunggal, di sini, Nik Azizah Nik Hussain, 49, yang  hanya mampu menaruh harapan untuk mendiami semula rumahnya setelah terbakar November tahun lalu.

Kelmarin, genap setahun peristiwa duka itu berlaku, namun yang mengecewakan masih tiada sebarang tindakan diambil sedangkan perkara itu sudah berada dalam pengetahuan pelbagai pihak, termasuk pihak insurans dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Tinjauan Sinar Harian mendapati, keadaan dalam rumah masih sama sebagaimana dilihat sehari selepas kejadian dan difahamkan, beberapa peralatan rumah yang masih selamat daripada kebakaran juga telah lesap dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab.

“Saya tak pasti sampai bila harus menunggu tindakan  pihak berkaitan setelah setahun kejadian berlalu.

"Malah, saya juga tidak tahu status sebenarnya dan hanya menunggu dengan penuh harapan," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Nik Azizah berkata, sebelum ini pihak berkaitan ada turun padang melihat keadaan rumahnya, termasuk wakil SPNB yang memaklumkan akan menguruskan berhubung insurans rumah.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini semuanya masih sepi tanpa sebarang khabar berita.

Kata Nik Azizah, dia ada berhubung dengan pihak berkenaan, namun jawapan diterima tetap sama iaitu masih menunggu surat daripada peguam.

"Semua dokumen rumah yang berada dalam simpanan saya pula telah hangus sewaktu kejadian dahulu.

“Memandangkan sudah setahun berlalu, saya berharap pihak terlibat dapat melihat keadaan ini semula supaya saya boleh mendiami rumah ini secepat mungkin, bukan lagi menumpang di rumah ibu,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini pernah menyiarkan mengenai musibah berganda yang dihadapi Nik Azizah apabila rumahnya terbakar pada 12 November tahun lalu kira-kira jam 2.20 pagi hingga menyebabkan dia kerugian kira-kira RM120,000.

Tiga bulan sebelum itu, rumah tersebut yang didiami hampir empat tahun, dipecah masuk pencuri sehingga Nik Azizah kerugian kira-kira RM15,000 termasuk kehilangan jam tangan Allahyarham suaminya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?