Mantan Naib Presiden Sudan tiba di KLIA untuk KL Summit
![]() |
Syeikh Ali Osman Taha (kanan) bersama pengiringnya ketika disambut di bilik VIP di KLIA. |
KUALA LUMPUR, 10 November – Mantan Naib Presiden Satu Sudan Syeikh Ali Osman Muhammad Taha yang juga merupakan orang nombor dua dalam gerakan Islam Jabhah Islamiah Qaumiyah selepas Syeikh Hasan Turabi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 2.30 petang tadi.
Beliau yang diiringi oleh pegawai Kedutaan Sudan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Persahabatan Malaysia-Turki (MTF Foundation) Ustaz Qamarul Naim Mohd Faisal.
Syeikh Ali Osman Taha merupakan tetamu khas untuk Persidangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KL Summit) yang berlangsung esok selama tiga hari di Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), MTF Foundation dan Pusat Diplomatik Arab-Turki (TAIM).
Beliau menjawat jawatan Naib Pertama Presiden Sudan bermula Julai 2011 sehingga Disember 2013.
Beliau adalah graduan Fakulti Undang-undang di Universiti Khartoum dan memulakan karier dalam bidang politik sebagai Ahli Parlimen Sudan pada tahun 1980.
Persidangan ini bakal dipengerusikan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan memberikan ucaptamanya esok.
Antara tokoh yang akan hadir dalam persidangan ini ialah bekas Menteri Luar Maghribi, Dr. Saadudin Al-Uthmani, Presiden Parti Nahdah Tunisia, Rashid Ghannouchi, Wakil Pengerusi Kesatuan Ulama Dunia, Mohamad Hasan Al-Dadu, Bekas Naib Presiden Sudan, Ali Osman Taha, Ketua Hal Ehwal Luar Biro Politik HAMAS Sheikh Jamal Isa dan Wakil Perdana Menteri Turki, Mr. Muhammet Bilal Macit.
Akan hadir juga ialah Pemimpin Lembaga Undang-Undang Syarak dan Islah Mesir Dr. Muhammad Yusri, Pemikir dan Penganalisis Politik Timur Tengah Dr. Abdullah An-Nafisi, pemikir dan pengkaji gerakan Islam sedunia Syeikh Muhamad Ahmad Ar-Rashid, Presiden Parti Keadilan dan Sejahtera Indonesia (PKS) Anis Matta dan lain-lain lagi.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan