Mujahid ‘play safe’, terus terang selepas tamat forum


Ini komen Datuk Dr. Mujahid Rawa berkenaan dengan forum bersama saya pada minggu lepas. Saya masih belum punya masa untuk memberikan komentar saya. Sekadar respon ringkas saya.

Nampaknya, beliau lebih “berterus-terang” di dalam tulisan ini daripada ketika berforum dengan saya. Sayangnya, tulisan ini bukanlah forum yang saya boleh jawab kembali. Apapun, saya mencadangkan agar saudara semua mendengar sendiri rakaman forum tersebut dan membuat keputusan atas segala kesimpulan “lambung dan lipat” yang beliau sebutkan di dalam catatan beliau itu.

Semasa forum tersebut, pada saya, beliau cuba untuk “play safe” dan tidak banyak memberikan komen di atas isu yang saya timbulkan sangat.

Saya juga agak sedih apabila saya memberikan beberapa poin saya, antaranya berkenaan dengan DAP, beliau tidak memberikan sebarang komen. Seolah-olah beliau tidak tahu dan tidak pernah membaca langsung laman web DAP. Pada saya, itu suatu kedaifan beliau dalam memahami DAP. Bagaimana boleh bekerjasama dengan DAP, jika laman web rasmi DAP pun beliau belum explore? Agak merunsingkan pada saya.

Di dalam perbincangan pada malam tersebut, saya juga ada membawa isu bagaimana banyak civil societies yang mendapat dana asing. Seingat saya, beliau tidak pula menimbulkan isu teori konspirasi, seperti mana yang beliau sebut di dalam penulisan tersebut. Apa yang beliau minta adalah bukti, dan saya berkata bahawa saya bersedia untuk memberikan bukti penyaluran dana-dana asing tersebut. Entahlah bagaimana di dalam penulisannya, beliau menimbulkan isu saya menimbulkan teori konspirasi. Sayangnya, penulisan tersebut berlaku selepas forum, jadi tak dapatlah saya menjawab kembali apa yang beliau tulis.

Berkenaan komen saya berkenaan dengan kelantangan PAS di dalam IFC, dan tidak di dalam Comango selepasnya, sayangnya beliau hanya menjawab di dalam penulisan ini, tetapi tidak di dalam forum tersebut. Susahlah nak jawab kalau macam ni…

Oleh kerana beliau terlalu play safe dan menimbulkan isu bahawa sebagai ahli politik beliau harus bersifat neutral, maka saya timbulkan bahawa kita tidak mahu ahli politik Islam yang play safe, neutral walaupun apabila idea-idea yang bertentangan dengan Islam disebut di hadapan beliau. Sesiapa yang melihat diolag beliau bersama Dr Farouk Musa (boleh dilihat di youtube) dapat melihat bagaimana Dr Farouk telah memberikan idea-idea berkenaan dengan negara Islam dan negara sekular, yang amat bertentangan dengan kefahaman Islam dan beliau hanya menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan Dr Farouk, melainkan dalam hal-hal di mana Dr Farouk memberi komen terhadap PAS (p/s: Saya tidak timbulkan kes ini di dalam forum tersebut kerana masa tidak mengizinkan).

Kita tidak mahu ahli politik Islam yang play safe sebegini. Dalam al-Quran disebutkan (al-Nisa: 140):

وقد نزل عليكم في الكتاب أن إذا سمعتم آيات الله يكفر بها ويستهزأ بها فلا تقعدوا معهم حتى يخوضوا في حديث غيره إنكم إذا مثلهم إن الله جامع المنافقين والكافرين في جهنم جميعا

Imam Tabari menyatakan:

قال الطبري: وفي هذه الآية ، الدلالة الواضحة على النهي عن مجالسة أهل الباطل من كل نوع ، من المبتدعة والفسقة ، عند خوضهم في باطلهم

“Di dalam ayat ini, terdapat dalil yang jelas berkenaan dengan larangan untuk duduk bersama ahli batil daripada segala jenis (ahli batil), sama ada ahli bid’ah atau fasik, apabila mereka bercakap perkara-perkara yang batil.

Sheikh Rashid Redha di dalam al-Manar, di dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan:

ويدخل في هذه الآية كل محدث في الدين وكل مبتدع ، كما روي عن ابن عباس . قال في فتح البيان في مقاصد القرآن : وفي هذه الآية باعتبار عموم لفظها دون خصوص السبب دليل على اجتناب كل موقف يخوض فيه أهله بما يفيد التنقص والاستهزاء للأدلة الشرعية”

“Termasuk di dalam ayat ini adalah semua mereka yang mengadakan perkara yang tiada di dalam agama dan para ahli bid’ah, seperti mana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas. Disebutkan di dalam Fath al-Bayan Fi Maqadis al-Qur’an: “Di dalam ayat ini, berdasarkan kaedah pentafsiran al-Qur’an bahawa sesuatu ayat itu mestilah difahami dengan umum lafaznya, tanpa melihat hanya kepada sebab-sebab khusus penurunan ayat tersebut, maka ia menjadi dalil untuk meninggalkan setiap situasi di mana berlakunya penghinaan dengan terhadap dalil-dalil syarak.”

Maka, apabila kita berada di tempat sebegitu, lalu kita berdiam diri (apatah lagi apabila kita berkata kita bersetuju dengan apa yang disebut), maka akan timbul fitnah yang besar kepada umat Islam. Mereka akan merasakan bahawa sememangnya percakapan yang salah itu tidak mengapa, kerana kita (yang katanya pejuang Islam) ada bersama, bahkan turut mengiyakan apa yang disebut. Inilah bahayanya apabila kita berhadapan dengan situasi ini dan berdiam diri.

Apa yang kita mahu daripada ahli politik Islam ialah merasa ghirah terhadap Islam dan tidak akan sama sekali berdiam diri dan bersifat neutral apabila idea-idea yang bertentangan dengan Islam disebut di hadapan beliau, tanpa beliau menyatakan ketidaksetujuan beliau. Apatah lagi apabila menjadi ahli panel. Kita mahu ahli politik Islam yang sanggup mengenepikan apa juga kepentingan (termasuklah kepentingan politik) demi mempertahankan Islam.

Inilah rule engagement dengan mana-mana kumpulan sekalipun (parti politik, civil societies atau sesiapa sahaja), iaitulah jangan berdiam diri apabila perkara-perkara yang tidak betul atau salah berkenaan dengan Islam disebut. Nyatakan persetujuan kita, atau jika tidak mampu, keluar sahaja. Ini antara yang saya sebut pada malam tersebut. (P/s. Saya juga tidak sempat menyebut berkenaan dengan ayat tersebut dan pandangan Sheikh Rashid Redha, tetapi isu neutral itu ada saya sebut secara jelas.)

Berkenaan dengan SIS, saya berasa hairan, bagaimana beliau boleh pergi berjumpa dengan SIS dan kemudiannya membuat statement bahawa fatwa tersebut tidak berasas. 

Wow, sekali jumpa dengan SIS, tanpa perlu berjumpa dengan Majlis Fatwa dan tanpa menyusuri perjalanan, penulisan dan penerangan SIS dalam banyak hal, maka beliau telah berpuas hati. Begitu cepat. Cepat sungguh pembelaan kepada SIS. Sayangnya Majlis Fatwa tidak mendapat pembelaan sebegitu daripada Datuk Mujahid Rawa.

Berkenaan dengan tuduhan ISMA rasis, saya tidak berniat untuk memanjangkan kerana beliau sendiri telah menyatakan bahawa beliau telah berpuas hati (untuk lebih jelas, sila lihat rakaman).

Saya masih belum dapat melihat di mana beliau telah “menyepak” balik pada malam tersebut. Entahlah. Saudara boleh lihat rakaman dan buat komen saudara sendiri. Banyaknya, beliau hanya lebih bersikap play safe.

Walaubagaimanapun, seperti juga beliau, saya juga mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian beliau berforum dengan saya pada malam tersebut.

Sekadar pembetulan, penganjur pada malam tersebut bukanlah ISMA, tetapi Arus Baru, dan saya mengucapkan berbanyak terima kasih kerana menjemput saya untuk berforum pada malam tersebut. Kepada Datuk Dr. Mujahid, saya harap beliau tidak serik untuk berforum lagi dengan saya (jika berkesempatan) pada masa hadapan.

Insya-Allah, saya akan cuba cari masa untuk menulis sedikit sebanyak berkenaan dengan poin-poin yang saya sebut pada malam tersebut, dan juga poin-poin yang tak sempat saya sebut.

Sebagai pendahuluan, saya mencadangkan saudara-saudara menonton sendiri rakaman forum tersebut.


Prof. Madya Dr. Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?