Nasib nelayan musim tengkujuh
KUALA TERENGGANU, 10 November – Sudah lebih seminggu nelayan pantai di beberapa daerah di negeri ini tidak turun ke laut memandangkan keadaan angin kencang dan laut bergelora di perairan Terengganu sekali gus tidak selamat untuk menjalankan sebarang aktiviti.
Keadaan itu juga menyebabkan mereka yang bergantung kepada laut untuk mencari rezeki terputus sumber pendapatan.
Masa luang kini dihabiskan dengan membaiki pukat dan bot masing-masing.
Tinjauan Sinar Harian di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Chendering di sini semalam, mendapati sebahagian besar nelayan tempatan tidak lagi turun ke laut untuk menangkap ikan kerana keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia juga telah mengeluarkan amaran angin kencang timur laut manakala laut bergelora pula dijangka melanda di kawasan perairan Kelantan dan Terengganu sejak minggu lepas dan berakhir semalam.
Berdasarkan maklumat itu dilaporkan angin kencang timur laut berkelajuan antara 40 dan 50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak sehingga 3.5 meter turut melanda dan keadaan itu berbahaya kepada bot kecil serta sebarang aktiviti laut.
Seorang juragan yang ditemui di jeti LKIM, Chendering, Jusoh Salleh, 74, berkata, selain keadaan laut tidak selamat dan mampu membahayakan keselamatan nelayan, cuaca sejuk serta panas yang berlarutan juga menyebabkan ikan tidak banyak.
“Seperti biasa apabila tidak turun ke laut, saya dan ‘awok-awok’ akan menaikkan pukat dan jahit mana yang rosak.
"Sebab kita tidak dapat menolak kedatangan tengkujuh kerana memang sudah sampai waktunya," katanya.
Namun kata Jusoh, sebagai nelayan mereka akan tetap turun ke laut sekiranya mampu berdepan dengan gelora dilaut.
Bagaimanapun sejak seminggu lalu, dia memutuskan untuk berehat buat sementara waktu disebabkan keadaan yang agak berbahaya di tengah laut.
Menurutnya, jika keadaan kembali pulih, dia akan turun semula ke laut mencari rezeki.
Seorang lagi nelayan, Mohd Salleh, 70, berkata, nasib nelayan setiap kali tibanya musim tengkujuh tidak menentu.
“Biasanya kami tidak berehat terlalu lama. Mungkin dua minggu lagi kami akan keluar menangkap ikan apabila cuaca kembali stabil.
"Keadaan cuaca tidak menentu dan laut bergelora menjadi perkara biasa bagi nelayan.
“Ia dilalui setiap kali musim tengkujuh dan sudah menjadi asam garam kami. Tidak dapat menangkap ikan bukan alasan untuk berehat sahaja, kami gunakan kesempatan berada di darat untuk menjahit pukat yang rosak,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan