Para Ulamak vs Orang Parti


Beberapa isu yang berlaku di Malaysia setahun dua ini menampakkan perbezaan yang jauh antara keperibadian Ulamak berbanding gelagat “Orang Politik”.

Oleh kerana politik adalah sebahagian dari ajaran Islam yang penting, maka adalah lebih baik perkataan “Politik” tidak dikotori di sini. Sebaliknya lebih sesuai dinamakan mereka “Orang Parti” bagi merujuk kepada orang-orang yang sama.

Perkara paling menonjol yang sering berlaku adalah memutar dan mengalih-alihkan Premis Perbincangan atau Mahal Al-Nizak (محل النزاع) hingga tidak menentu lalu hilang punca yang akhirnya menjadikan masyarakat awam keliru dan keputusan Ulamak dilihat tidak berwibawa.

ISU KALIMAH ALLAH

Majlis Fatwa Kebangsaan menegah Gerakan Kristianisasi mencetak perkataan “ALLAH” menggantikan perkataan “God” dalam penerbitan mereka. Pendirian ini turut disahut dan diperjuangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Mahkamah Rayuan.

Pada Kristian, God mereka adalah Nabi Isa dan lain-lain. Sedangkan dalam Islam, Nabi Isa bukan Allah S.W.T. Ia logik yang amat mudah. Ia terlebih dahulu merupakan isu aqidah, sebelum ianya adalah isu yang boleh mengelirukan ramai rakyat jelata terutamanya mereka yang beragama Islam .

Namun ada Orang Parti yang menyokong tuntutan Kristian di atas dengan alasan “Allah adalah untuk semua manusia”, “Allah adalah Tuhan sekalian alam”, “kebebasan bersuara”, “kebebasan beragama” dsb. sedangkan itu bukan premis perbincangan sebenar.

Mudahnya, Allah S.W.T. memang Tuhan sekalian alam, tetapi Allah S.W.T. bukan Nabi Isa A.S. yang merupakan fokus fatwa.

ISU SISTERS IN ISLAM (SIS)

Majlis Fatwa Selangor memfatwakan bahawa SIS menyeleweng kerana terlibat dalam membuat tuntutan kebebasan seks, LGBT dll melalui Kertas Kerja COMANGO ke PBB dan pendirian-pendiriannya yang lain, sedangkan SIS membawa nama “Islam” pada organisasinya.

Sebaliknya ada Orang Parti cuba membela mereka dengan membawa alasan “toleransi agama”, “pluraliti-agama” bermaksud “kepelbagaian agama” dsb.

Disedari atau tidak, Orang Politik sedemikian telah meletak status SIS seperti sebuah badan beragama lain yang hendak ditoleransiagamakan oleh para Ulamak dan masyarakat Islam. Dalam masa yang sama premis perbincangan juga telah berubah.

Saya berpada dengan sekadar dua contoh di atas. Apa yang berlaku bukan sekadar itu. Malah banyak isu agama Islam hari ini cuba diambil peluang oleh pihak-pihak tertentu lalu menyebabkan kekeliruan pada masyarakat awam. Di samping itu ada pihak cuba menangguk di air keruh untuk merendahkan kedudukan Ulamak dalam masyarakat.

NASIHAT

Sepatutnya apa yang difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan/Negeri dibawa ke dalam Parlimen/DUN oleh Orang Parti dengan bersepakat sesama parti-parti Melayu/Islam untuk diaktakan di Mahkamah Sivil.

Ini akan memudahkan Mahkamah untuk membuat penghakiman di peringkat seksyen, majistret atau tinggi tanpa perlu kes dibawa ke peringkat rayuan atau persekutuan.

Sebaliknya, yang selalu berlaku adalah tidak terdapat di sana akta jelas dan terperinci lalu kes terpaksa diangkat ke peringkat rayuan atau persekutuan walaupun dalam hal yang mudah seperti kes Kalimah Allah, seks songsang, cara berpakaian dan sebagainya.

Jika setiap yang difatwakan oleh Majlis Fatwa Ulamak, dijadikan undang-undang oleh Orang-orang Parti menjadinya maka lama-kelamaan undang-undang sivil akan menjadi selari lalu mengikut undang-undang Syariah akhirnya.

Namun apa yang berlaku, walaupun jumlah wakil-wakil rakyat yang berbangsa Melayu beragama Islam merupakan majoriti dalam Parlimen/DUN dan mereka boleh bersepakat mengaktakan fatwa-fatwa yang baik, malangnya ia tidak berlaku kerana mereka sesama mereka tidak dapat duduk bersama dan bersepakat kerana berlainan parti walaupun agenda atau fatwa tersebut adalah merupakan kepentingan bersama.

Seolah mereka hanya boleh mengaktakan sesuatu fatwa menjadi undang-undang hanya apabila lawan politik mereka benar-benar mereka telah 100% tewaskan terlebih dahulu dalam pilihanraya, kemudian baru mereka dapat mengaktakan fatwa-fatwa yang baik menjadi undang-undang. Mentaliti seperti ini telah berjalan lama sejak PRU01 (1955) hinggalah ke hari ini. Ia masih belum nampak reda, malah kelihatan semakin memuncak.

Ulamak adalah pewaris para Nabi. العلماء ورثة الانبياء. Sebaiknya fatwa dikeluarkan adalah dari sesebuah majlis atau pasukan dan bukannya dari orang perseorangan.

Jika beberapa majlis ulamak dari berbagai pihak kawan dan lawan bersepakat dalam satu-satu isu, maka Orang Parti hendaklah mengaktakannya tanpa lengah, jauh sekali dari memutarkan Premis Perbincangan dan terus mengelirukan masyarakat melalui ucapan-ucapan mereka.

Contoh paling menonjol adalah dalam isu Kalimah Allah di mana semua majlis ulamak, pelbagai agensi, parti politik dan pertubuhan bersepakat menegah Kristian Malaysia menggunakannya.

Moga Allah S.W.T. memilih mereka yang terbaik di kalangan umat Islam untuk mewakili mereka ke Badan-badan Perundangan (Parlimen/DUN) dan Eksekutif (Kabinet/Exco) dan menanam keberanian dan kesabaran kepada para Ulamak kita dalam memandu dan menyelamatkan umat di zaman mencabar ini.


Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah
Ahli Jawatankuasa Pusat
Ikatan Muslimin Malaysia

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?