Parlimen Belia: Buani Atiqi dapat undi tertinggi
KUALA TERENGGANU, 2 November - Lima calon yang layak menduduki kerusi Ahli Parlimen Belia Malaysia (PBM) Terengganu sudah terjawab apabila keputusan undian dipaparkan secara umum di laman web PBM, www.parlimenbelia.gov.my, semalam.
Calon yang memegang nombor keahlian TRG015, Buani Atiqi Abdul Rahman mendapat undian paling tinggi sebanyak 40.54 peratus, Nur Aziati Ahmad Razif (36.22 peratus), Alif Rosli (33.75 peratus), Maisarah Zulkifli (24.97 peratus) dan Mohd Zulkhairi Saidi (23.98 peratus).
Calon-calon tersebut merupakan antara lima yang berjaya mendapat undian tertinggi berbanding calon lain melalui pemilihan atas talian yang dibuka selama 10 hari dan berakhir kelmarin (31 Oktober).
Dengan keputusan diperoleh itu, mereka yang berjaya mengatasi 20 calon lain secara rasmi menjadi Ahli PBM.
Ahli PBM merupakan saluran orang muda yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan yang memperuntukkan hanya lima kerusi sahaja bagi negeri ini dan peruntukan kerusi itu berbeza di setiap negeri berdasarkan nisbah satu Ahli PBM bagi 100,000 belia (1:100,000).
Selain itu, orang awam terutamanya pengundi berdaftar sebelum ini boleh melihat keputusan di negeri-negeri lain melalui laman rasmi PBM yang turut memaparkan keputusan PBM di peringkat negeri masing-masing di seluruh Malaysia.
Berdasarkan Tentatif Pelaksanaan PBM 2014, kesemua Ahli PBM akan menghadiri pra persidangan pada 24 hingga 28 November ini.
Ahli PBM merupakan satu platform yang dicetuskan di bawah Kementerian Belia dan Sukan bertujuan membawa idea dan suara golongan muda ke peringkat lebih tinggi.
Idea-idea tersebut akan dibawa ke peringkat PBM, dibahas dan diluluskan sebelum dibawa ke peringkat jemaah menteri.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam laman Facebooknya sebelum ini berkata, PBM akan menjadi ‘training ground’ bagi pemimpin masa depan negara sebagai seorang wakil muda yang diberi amanah untuk bersuara demi kepentingan generasi.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan