PEMBELA desak Najib bubar MKPN
BANGI, 28 Nov – Susulan perakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan dan dibuat penambahbaikan, hari ini Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mendesak agar Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) dibubarkan.
Pengerusi PEMBELA, Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, oleh kerana Perdana Menteri sendiri telah menyatakan bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan, maka keperluan untuk MKPN wujud sudah tidak munasabah lagi.
Sejak dari awal penubuhannya, MKPN tidak membawa apa-apa kebaikan melainkan peranannya telah menyebabkan berlakunya kegelisahan dan keresahan besar dalam masyarakat.
“Persepsi masyarakat Islam kepada pemerintah hampir sahaja hancur dengan kewujudan majlis ini.
“Tindakan demi tindakan mereka yang dilihat sentiasa menjadikan Islam sebagai karung tinju untuk mencapai matlamat-matlamat tertentu dari golongan tertentu.
“Semua pihak tidak lupa bagaimana MKPN membenarkan Majlis Peguam yang diresapi elemen sekular menodai kepercayaan Perdana Menteri dengan membolehkan Draf Rang Undang-Undang Harmoni dihantar ke kabinet atas nama MKPN melalui pintu belakang.
“Ini adalah perbuatan yang jelas menodai kepercayaan yang telah diberikan kepada mereka untuk memikul tugas mencari penyelesaian kepada isu perpaduan negara,” katanya.
Untuk itu jelas Ustaz Hafiz, ini adalah masa yang terbaik untuk Najib membersihkan pentadbirannya daripada sebarang tanggungan liabiliti yang memusnahkan reputasi kerajaan sebagai pemerintah.
“Yakinkan seluruh masyarakat Islam dengan mula mengotakan janji yang telah dibuat.
“Antaranya dengan membubarkan MKPN kerana kewujudannya sudah tidak relevan lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan