PEMBELA sokong MAIS mendepani kebiadapan puak liberal
BANGI, 5 November – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyatakan solidaritinya tidak berbelah bahagi kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Fatwa Negeri Selangor dalam mendepani kebiadaban golongan pendukung Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme (SEPILIS).
Pihak-pihak yang cenderung untuk memperkasakan agenda SEPILIS ini kini telah muncul mendedahkan perwatakan mereka melalui sokongan yang diberikan NGO Sisters In Islam (SIS).
Pengerusinya, Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, kenyataan beberapa pihak seperti Anwar Ibrahim, Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad, Hanipa Maidin, Zaid Ibrahim dan lain-lain lagi yang motifnya untuk mencabar Majlis Fatwa dan Majlis Agama Islam perlu dipandang secara serius.
“Pihak-pihak ini cuba membudayakan sikap biadab dengan menentang badan autoriti yang menjalankan kuasanya sepertimana yang dibenarkan melalui undang-undang negara.
“Mereka bersuara sebenarnya adalah menjalankan agenda asing di negara ini dengan cuba mengganggu gugat sistem sedia ada untuk motif jangka panjang pihak-pihak tertentu,” ujarnya dalam satu kenyataaan hari ini.
Beberapa hari lalu, SIS memfailkan semakan kehakiman ke atas satu fatwa dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang memutuskan SIS sebagai pertubuhan haram kerana menganuti dan menyebarkan fahaman agama liberal dan pluralisme.
Jelas Ustaz Hafiz, sebagai sebuah badan berautoriti dan diberi kuasa untuk menjalankan tugasan di bawah undang-undang negeri dan negara, MAIS berkuasa untuk mewartakan serta menguatkuasakan fatwa kerana ianya adalah selari dengan undang-undang sedia ada.
Untuk itu tambah beliau, PEMBELA akan menggerakkan seluruh sokongan akar umbi rakyat Malaysia yang cintakan jalan akidah yang lurus untuk bersama-sama berjuang menentang golongan pendukung SEPILIS.
“Selain itu kita juga akan terus mengecam kebiadaban boneka-boneka asing yang cuba mengubah dan merosakkan jati diri identiti Agama Negara ini iaitu agama Islam,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan