Penantian 20 tahun berakhir
KUALA TERENGGANU, 10 November – Warga bandar raya Kuala Terengganu gembira dengan berita kompleks Plaza Paya Bunga yang terbengkalai sejak 20 tahun lalu akhirnya bakal dibuka kepada orang ramai dan dijangka beroperasi sebelum 31 Disember ini.
Ia bukan sahaja berita baik kepada warga bandar raya tetapi perkembangan itu turut mendapat respon positif mereka yang telah menunggu terlalu lama untuk melihat wujudnya sebuah kompleks beli-belah di tengah bandar raya berkenaan.
Seorang kakitangan swasta, Norziana Musa, 38, berkata, pembukaan kompleks itu dapat menambahkan lagi keceriaan bandar raya yang dilihat makin sepi kerana masih kurang kemudahan.
“Sepatutnya sudah lama kompleks itu beroperasi, tetapi ia dibiarkan begitu sahaja.
"Harapan kita apabila ia dibuka kelak dapat menambahkan lagi keceriaan bandar raya ini terutama pada waktu malam,” katanya.
Perkara tersebut turut disokong rakannya, Nor Azahani Mazlan, 24, yang berkata, sebelum ini warga bandar raya berkenaan tertunggu-tunggu tarikh pembukaan rasmi bangunan yang dilihat begitu ‘gah’ kerana berada di tengah bandar.
“Kompleks itu dibina sewaktu saya masih kecil lagi. Bangunan itu juga sepatutnya telah lama beroperasi supaya keadaan bandar raya nampak lebih pesat, namun hari demi hari tiada perkembangan baru berlaku.
“Rata-rata warga bandar raya kini memang sudah mula memperkatakan mengenainya kerana mereka difahamkan kompleks itu akan mula dibuka dan beroperasi pada penghujung tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi Izyan Syahirah Zulkifli, 18, pula, dia gembira namun meminta pihak berkuasa tempatan dapat memastikan struktur bangunan yang telah terbiar lama itu benar-benar selamat sebelum dibuka kepada umum.
“Keselamatan orang awam perlu diutamakan terlebih dahulu,” katanya.
Terdahulu, perkara tersebut juga telah diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman yang turut mengesahkan kompleks tersebut bakal menempatkan gedung beli-belah selain lot perniagaan.
Beliau yang dipetik berkata, keputusan itu dibuat setelah segala permasalahan termasuk membabitkan perundangan selesai dan premis itu kini dimiliki sepenuhnya anak syarikat kerajaan negeri iaitu Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
Sebelum ini, difahamkan pembinaan kompleks itu diibaratkan ‘projek gajah putih’ kerana ditinggalkan terbiar begitu lama sedangkan terletak di lokasi strategik dan ia sepatutnya dibuka pada 12 September 2007.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan