Peranan nahi mungkar
Dari Abu Hurairah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda: Perumpamaan orang yang menegakkan hukum Allah dengan orang yang diam terhadapnya seperti sebuah kaum yang dipilih untuk berlayar dengan sebuah kapal lalu sebahagian dari mereka ada yang mendapat tempat di atas dan sebahagian mereka lagi di bahagian bawah perahu. Lalu orang berada di bahagian bawah perahu apabila mereka mencari air untuk minum mereka harus melintasi orang-orang yang berada di bahagian atas seraya berkata: “Seandainya boleh kami lubangi apa sahaja perahu ini untuk mendapat bahagian kami sehingga kami tidak mengganggu orang yang berada di atas kami.” Seandainya mereka yang di atas tidak menegah mereka yang berada di bawah itu, maka mereka akan binasa semuanya. Namun sekiranya mereka mencegah dengan tangan mereka, maka mereka akan selamat kesemuanya.”
(Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari di dalam Sahihnya di dalam Kitab al-Syirkah no. 2326)
Hadis ini adalah sebuah hadis yang sangat indah di mana ia di penuhi dengan pelbagai perumpamaan. Secara umumnya hadis ini menggambarkan kehidupan sekelompok masyarakat ketika sedang berlayar. Mereka diumpamakan seperti golongan-golongan yang terdapat di dalam sesebuah masyarakat.
Golongan Pertama
Golongan pertama ialah mereka yang melanggar hukum-hukum Allah dan yang melakukan kemungkaran dan kerosakan di muka bumi. Mereka mahu menebuk dan melubangkan kapal. Mereka mahu bertindak demikian kerana tidak mahu menyusahkan dan mengganggu penumpang di bahagian atas apabila mahu mengambil air. Lalu mereka mahu mengambil jalan mudah dengan menebuk sahaja kapal. Mereka diumpamakan seperti penumpang yang duduk di bahagian bawah kapal. Ia menggambarkan rendahnya kedudukan mereka dengan sebab perbuatan mereka itu.
Golongan Kedua
Selain dari golongan di atas terdapat dua lagi golongan iaitu mereka yang berpegang dengan hukum-hukum Allah, yang menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram serta menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka juga adalah pemimpin masyarakat. Mereka inilah yang duduk di bahagian atas kapal sekali gus menggambarkan ketinggian martabat mereka.
Golongan Ketiga
Manakala golongan yang satu lagi ialah mereka yang membiarkan sahaja perbuatan tersebut. Mereka tidak ambil pusing dengan apa yang berlaku dan langsung tidak mencegahnya. Mereka hanya melihat dan membiarkan.
Gambaran Hidup Umat
Hadis ini membawakan perumpamaan dan perbandingan situasi dengan situasi. Hadis ini mengumpamakan situasi umat keseluruhannya dengan situasi mereka yang menaiki kapal ini. Sebahagian dari umat memelihara dan berpegang teguh dengan agama. Sebahagian yang lain pula melanggar batas-batas tersebut. Tindakan mereka yang menghalang golongan yang melakukan kemungkaran ini akan menyelamatkan umat keseluruhannya dan sekiranya mereka dibiarkan melakukan kemungkaran tersebut akan menyebabkan kehancuran umat keseluruhannya. Situasi ini diumpamakan seperti mereka yang menaiki kapal ini.
Pelayaran Umat
Sungguh indah perumpamaan ini yang mana umat yang melayari kehidupan di dunia yang penuh dengan ujian, dugaan, tekanan diumpamakan seperti pelayaran sebuah kapal yang perlu menempuh ombak besar, laut bergelora dan kadang-kadang juga berdepan dengan angin yang kencang. Kejayaan kapal ini sampai ke destinasi adalah bergantung kepada manusia yang mengemudi kapal ini dengan izin Allah. Mereka akan berjaya ke destinasi sekiranya mereka bersatu hati. Mereka akan berjaya ke matlamat yang dituju apabila masing-masing tidak hanya memikirkan diri sendiri tetapi juga memikirkan orang lain apabila ingin melakukan sesuatu. Pelayaran mereka juga akan berjaya kiranya ada di kalangan mereka yang sentiasa mengawasi perbuatan-perbuatan yang akan merosakkan kapal yang mereka naiki.
Inilah sebuah perumpamaan sebuah kapal dengan gambaran keadaannya dan kesudahan perjalanannya dan juga apa yang berlalu di sekelilingnya, di atasnya dan di dalamnya.
Asas Kejayaan Ummah
Hadis ini mengajarkan kepada kita bahawa asas kejayaan sesebuah ummah ialah:
- Setiap anggota masyarakat mesti saling bahu membahu, bantu membantu dalam usaha untuk mengukuhkan kebenaran dan perkara-perkara kebaikan. Setiap anggota masyarakat juga perlu bersatu dalam mencegah kemungkaran dan menghalang sebarang tindakan yang akan menghancurkan ummah. Bersatu teguh bercerai roboh.
- Kita mesti berusaha menghalang sebarang tindakan yang bertujuan untuk merosakkan ummah serta mencegah sebarang perbuatan maksiat dan dosa. Kita tidak mahu seluruh umat akan mendapat azab Allah dan umat akan hancur kesemuanya. Ini kerana Allah telah berfirman “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). dan ketahuilah Bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” (Al-Anfal:25)
- Antara malapetaka umat juga ialah sikap berdiam diri dan tidak ambil peduli terhadap perbuatan mungkar bahkan meredainya dan merasa tidak apa dengannya. Apa yang lebih teruk lagi apabila mereka merasakan perkara makruf itu adalah mungkar dan perkara mungkar itu satu amalan makruf. Contohnya suara-suara yang mengatakan: “Perkara itu tidak ada kaitan dengan aku” atau dengan nada yang lebih keras lagi: “Kita sekarang berada pada zaman kebebasan. Setiap orang bebas untuk memilih apa yang ia suka”. Na’uzubillahi min zalik.
Kita tidak mahu kapal kita karam di tengah lautan. Biarlah ia berlayar dan berjaya berlabuh di pelabuhan seterusnya menikmati kehidupan bahagia yang kekal abadi. Sebuah kehidupan yang keindahannya tidak pernah terlihat dek mata, tidak pernah terdengar dek telinga dan tidak pernah terlintas di fikiran. Amin Ya Rabbal ‘Alamin
Artikel ini merupakan hasil tulisan Ustazah Suriani Sudi, Timbalan Ketua Wanita ISMA dalam kolum Majalah Iman.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan