Perjuangkan Islam di parlimen, tak kira parti
BANGI, 7 November – Semua ahli parlimen beragama Islam sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang harus melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memastikan kepentingan Islam dan umat Islam terpelihara.
“Kita hantar mereka ke parlimen bukan untuk bersifat neutral, tetapi dengan harapan mereka akan memperjuangkan perkara-perkara untuk kepentingan Islam dan umat Islam.
“Janganlah bila ada perkara yang ingin meruntuhkan Islam, mereka buat tidak tahu dan tidak kisah,” demikian tegas Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS), Prof Madya Dr. Aznan Hasan dalam Wacana Gerakan Sivil dan Kedudukan Islam di Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.
Ulasnya, tak guna kita berbangga dengan bilangan ahli parlimen muslim yang ramai sekiranya tidak berjaya mempertahankan dan memperjuangkan apa-apa yang berkaitan kepentingan Islam.
Misalnya pernah berlaku sebelum ini, Rang Undang-undang Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 yang tidak diluluskan.
Terdapat beberapa peruntukan dikatakan telah menghalang rang undang-undang itu, walhal tiada masalah yang wujud pun dengan penukaran agama anak-anak.
“Sedangkan perkara macam itu dengan mudah sahaja akan lulus. Tetapi kenapa?” soalnya.
Oleh sebab itu katanya kepada lebih 300 hadirin, harapannya kepada ahli parlimen, jadilah seorang muslim yang memperjuangkan Islam di parlimen dan di luar parlimen dan di mana sahaja.
“Jadilah ahli parlimen yang membawa kebaikan kepada negara dan Islam.
“Bahkan bila mana nanti keluar hudud di Palimen untuk pindaan beberapa akta-akta berkaitan, saya harap tidak akan ada ahli parlimen muslim yang tidak menyokong.
“PAS atau UMNO, jika tidak sokong perkara yang menguntungkan Islam, kita akan bantah,” jelasnya.
Untuk itu, walau di mana kita berada, samada ISMA, PAS, PASMA atau lain-lain, ia perlu menjelaskan pendirian bahawa kita adalah pejuang Islam.
Semalam telah diadakan Wacana Gerakan Sivil dan Kedudukan Islam di Malaysia anjuran Arus Baru yang turut menampilkan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan