Pimpin aku ke Syurga

Oleh: Ibuadik (Pelajar Universiti Saemyung, Korea Selatan)


Tit... tit...

“Ah, siapa pula yang hantar SMS ni, orang nak tidur pun kacau.” Bebel aku sambil tangan aku segera mencapai telefon bimbit yang berada di tepi bantal.

‘Selamat malam Auni, jangan lupa basuh kaki dan baca DOA TIDUR ye.’ Begitulah kandungan mesej yang diterima. Tersenyum lebar tatkala mata membaca pesanan si dia. Saban malam, pasti akan dipesan olehnya terhadapku. Risau katanya nanti tidur malam aku diganggu syaitan.

“Bismika Allahumma Amut wa Ahyaa,” yang ertinya:

‘Dengan nama-Mu ya Allah aku mati dan hidup’ (Doa tidur)

‘Ingat juga awak dekat saya ya. In shaa Allah, saya takkan pernah lupa segala tu. Terima kasih awak.” Ligat tangan ku membalas setiap mesej dari si dia. Hampir 15 minit berbalas mesej dengan si dia baru aku tersedar jam menunjukkan sudah pukul 1.00 pagi lantas aku mengakhiri perbualan itu dan memulakan kembara mimpiku.

“Bu, kenapa ibu tak kejutkan Auni untuk solat fardhu subuh tadi?” Soal aku sambil mendapatkan ibu yang tatkala itu sedang menyapu rumput di halaman. Daun kering sudah mulai memenuhi halaman kawasan rumah kami berikutan musim kemarau sedang berlaku.  Sudah sebulan lebih hujan tidak membasahi bumi. Gusar!

“Auni, ibu dah kejutkan awak. Awak yang liat hendak bangun. Ibu ingatkan selepas ibu beredar dari bilik awak, awak dah bangun.” Rupanya ibu telah mengejutkan aku tetapi aku yang terlalu lena dibawa mimpi. Ini semua akibat tidur lewat dek kerana bersms. ‘Tak guna kau menyesal sekarang Auni, benda sudah pun terjadi.’ Aku mengumam seakan menyalahkan diri sendiri.

“Oh, ye ke ibu? Auni tak sedar. Tak apalah, lagipun Auni dah qadha’ solat subuh tadi. Ibu, hari ni boleh tak Auni nak pergi ulangkaji pelajaran dengan Farish di perpustaakan awam? SPM dah tak lama lagi ibu, Auni masih tak dapat faham pelajaran matematik tambahan ni.” Bersungguh aku memberitahu ibu dengan harapan dia memahami situasi aku.

Pengertian qadha’ menurut bahasa ialah menunaikan dan membayar. Menurut istilah pula ialah menunaikan ibadat di luar waktunya atau masih di dalam waktunya. Mereka yang meninggalkan solat sama ada sengaja atau tidak, diwajibkan mengqadha’kan solat itu di luar waktunya. Meninggalkan solat tanpa uzur yang syarie’ dianggap berdosa. Uzur yang dibenarkan ialah dua perkara iaitu terlupa dan tertidur.

Rasulullah S.A.W. bersabda: “Sebenarnya bukanlah termasuk lalai kerana tertidur. Kelalaian itu ialah di waktu bangun. Maka apabila seseorang lupa solat atau ia tertidur, hendaklah ia melakukannya jika telah ingat atau sedar”. Orang yang pengsan, tidak perlu mengqadha’ solatnya, kecuali bila ia sedar itu cukup waktu untuk bersuci dan bersolat.

“Pukul berapa Auni nak pergi tu? Boleh sayang. Nanti Auni minta tolong ayah hantarkan. Tetapi jangan balik lambat pula. Malam nanti kita nak ke rumah makcik Aisyah. Ada kenduri kesyukuran dibuat oleh mereka sekeluarga.” Ibu mengizinkan aku tetapi sempat pula dia berpesan serta mengingatkan aku tentang jemputan kenduri oleh keluarga saudara ibu itu.

Ibu dan ayah merupakan aset paling berharga di dunia ini.  Apa jua keputusan yang ingin aku lakukan,pendapat mereka mesti diutamakan. Tetapi ini bukan bermakna aku ini jenis yang meletakkan segala pergantungan kepada mereka. Ini kerana mereka terlebih dahulu memakan garam berbanding aku, maka mereka lebih mengetahui bagaimana masinnya garam tersebut. ‘Semoga Auni berjaya di masa hadapan. Doakan Auni.’ Bisik aku di dalam hati.

“Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku serta kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil.” (Doa untuk kedua ibubapa)

Peperiksaan SPM telahpun berakhir. Kini aku dan Farish sedang menanti keputusan yang bakal diumumkan kelak. Farish memenuhi masa lapangnya dengan bekerja di sebuah restoran di bandar manakala aku pula mengambil kursus jahitan di GIAT MARA yang terletak berhampiran dengan restoran tempat Farish bekerja.Kadang-kadang ibu atau ayah akan menghantar kami berdua ke tempat kerja masing-masing. Jika pakcik Ali yang juga merupakan bapa kepada Farish berkesempatan dia turut serta melakukan tanggungjawab yang sama.

“Ibu! Ibu! Ayah!” Terkocoh-kocoh aku mendapatkan mereka berdua yang tika itu berada di dapur.

“Hah Auni ni dah kenapa ni? Menjerit-jerit macam ni?” Ibu seakan menegur caraku yang kurang sopan itu tetapi masih melemparkan senyuman.

“Auni dapat 10A ibu! Auni lulus cemerlang jayanya. Nah! Cuba ibu tengok ni.” Sambil menghulurkan slip keputusan peperiksaan aku itu kepada ibu dan ayah.

“Alhamdulillah, doa ibu dan ayah termakbul, nak. Syukur ke hadrat Ilahi.” Seraya berkata mereka lantas mendakapku erat.

Farish juga memperolehi keputusan yang sama seperti diriku. Akhirnya kami memutuskan untuk menyambung pengajian di luar negara. Hampir setahun kami menyiapkan segala persiapan untuk belajar jauh dari keluarga. Mujurlah Farish seorang yang rajin. Berkat usahanya yang gigih itu, duit hasil dari kerja sambilannya itu menjadi bekalan untuknya. Rupanya itulah angan-angan Farish selama ini,ingin menggunakan hasil titik peluh sendiri untuk menyambung pengajian. ‘Farish, mulianya hatimu.’ Aku mengagumi sikap anak muda ini.

Kami berdua sudah lama meninggalkan zaman persekolahan dan sudah seminggu Farish telah meninggalkan aku keseorangan. Atas sebab-sebab tertentu, dia terpaksa untuk berlepas awal seminggu dari aku. Kini dunia kami berbeza. Farish memilih Mesir untuk meneruskan pengajian di dalam bidang yang diminatinya, kedoktoran. Manakala aku pula memilih untuk ke negara kimchi iaitu Korea berikutan minat aku lebih terjerumus kepada bidang kejuruteraan.

Hampir sebulan aku dan Farish berhubung hanya melalui teknologi Skype. Aku bernasib baik ditempatkan di negara yang teknologinya sangatlah maju. Banyak cerita yang dikongsikan bersama dengannya. Dalam tempoh sebulan itu, saban hari kami berbual. Walaupun berbeza waktu negara tetapi itu tidak menjadi batu penghadang kami untuk terus berhubung. Mungkin dek kerana perasaan rindu yang menggunung. Kadang-kadang hampir sahaja aku terbabas dengan kelas di waktu pagi akibat tidur yang sangat lewat. Mujurlah aku dikurniakan dengan ‘roomate’ yang ‘morning person’, Alia. Cantik seindah namanya. Alia sering mengejutkan aku tatkala aku terlena diulit mimpi untuk menunaikan fardhu subuh.

Sebulan yang pertama, hubungan aku dan Farish bahagia seperti biasa. Namun tidak lagi untuk bulan seterusnya. Jika tidak berkesempatan untuk Skype, Farish akan menegurku di laman muka buku. Entah apa yang membuatkannya berubah hati aku pun tidak mengerti. Jika terlalu sibuk, aku juga sibuk. Dengan projek, dengan tesis, dan sebagainya tetapi aku sentiasa akan mencuri waktu untuk bersamanya. ‘Sampai hati awak Farish, buat saya begini.’ Menangis kecil aku jauh di lubuk hati.

Ketika aku sedang membuka peti masuk e-mel untuk memuat turun nota yang diberikan oleh pensyarah, ada satu e-mel tertera yang aku teramat mengenalinya. Ya! Ternyata itu dari Farish. Berjuraian air mata membasahi pipi aku tatkala membaca bait-bait patah yang ditulis olehnya.

‘Auni, saya minta maaf. Teruskan kehidupan awak. Jangan tunggu saya lagi.’

Ringkas tulisannya. Tiada lagi emoticon senyuman, atau apa yang menandakan dia bergurau dengan aku. Ternyata ini rupanya perkara yang sangat serius. Aku mengerti setiap tulisan itu yang bermaksud Farish ingin berpisah dengan aku. Puas aku meraung di dalam bilik tika itu. Benarlah, emoticon adalah salah satu punca fitnah dimana jika salah emoticon yang diberikan mungkin salah faham akan terjadi.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkan perkataan yang tepat serta benar (dalam setiap perkara).” (Surah Al-Ahzab ayat 70)

“Auni, awak okay ke? Kenapa menangis sampai teruk macam ini?” Suara Alia menyadarkan aku akan kewujudannya di dalam bilik itu. Rupanya dia melihat keadaan aku yang separuh gila tika itu. Cinta itu tak buta! Tetapi manusialah yang membutakannya!

“Kekasih saya... dia telah tinggalkan saya...” Teresak-esak aku mengadu kepadanya.

“Sudahlah tu, kan dah tak cantik kalau terusan menangis macam ni. Kekasih awak lagi sedih, awak dah tinggalkan dia terlebih dahulu tau!” Terkejut aku mendengar apa yang diperkatakan itu. Serentak itu, aku menoleh menghadap wajahnya. Riak geramku hadiahkan kepadanya!

“Hah, siapa tinggal siapa? Bila saya tinggalkan dia?” Ternganga aku dihadapannya lalu terus sahaja menyoalnya dengan nada yang amarah. Farish terlebih dahulu meninggalkan aku masakan aku pula yang dituduh sedemikan.

“Allah S.W.T., Awak kecewakan Allah S.W.T. dengan membuat apa yang dilarang-Nya. DIA lagi sedih dari awak sedih sekarang ni.” Ringkas jawapan Alia sambil memeluk untuk memujukku.

Benarlah seperti apa yang diperkatakan oleh Alia. Demi cinta aku kepada Farish, aku sanggup membiarkan panggilan Ilahi yang ternyata lebih penting dari segalanya. Demi sayang aku kepada Farish, aku sangguh memonteng kelas di waktu pagi sedangkan aku sudah menabur janji tinggi melangit kepada ibu serta ayah yang aku akan membawa pulang segulung ijazah untuk mereka. Demi kasih aku kepada Farish, aku sanggup untuk tidak tidur malam, tidak menjaga permakanan semata-mata ingin berbual dengannya. Aku sanggup melupakan segala nikmat yang telah diberikan oleh-Nya kepada aku.

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidak dapat kamu menentukannya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari nikmat Allah.” (Surah Ibrahim ayat 34)

Kini, sudah hampir lima tahun hubungan cinta kami berakhir. Sudah hampir lima tahun aku berada di bumi empat musim ini. Segala kenangan di sini akan aku jadikan yang paling terindah di dalam hidup aku. Ini bermakna sudah hampir lima tahun aku berkecimpung dalam dunia tarbiyah. Sudah lima tahun aku mengikuti usrah dan sudah beberapa aktiviti telah aku sertai. Lima tahun yang lepas, Farish berjaya mengisi ruang kosong di dalam hati wanitaku ini. Kini, ukhuwah-fillah-ku telah menggantikannya di hatiku. Kami sering menunaikan solat fardhu berjemaah, tadarus Al-Quran bersama, menghayati bacaan Mathurat bersama, ber’MABIT’ bersama serta beriadah bersama. ‘Mereka telah menambat hatiku jauh ke pelusuk paling dalam!’ ucap syukur aku di dalam hati sentiasa.

“Bagaimana Auni, Auni sudah isikharah? Jadi, apa keputusannya?” ibu menyoalku ketika aku sedang mengupas bawang. Banyak juadah yang bakal dimasak sebentar lagi. Kurma daging, ayam masak merah, ikan goreng, tomyam campur, semuanya ibu ingin masak untuk anak kesayangannya ini. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 10.00 pagi. Sejam lagi keluarga Pak Long akan sampai di rumah kami. Mereka ingin menziarahi aku yang baru sahaja menjejakkan kaki dua hari lepas di bumi Malaysia. Tidak lama lagi, aku akan melaporkan diri di Universiti Kuala Lumpur sebagai pensyarah. Alhamdulillah, rezeki menyebelahi aku tatkala zaman sekarang masih ramai lagi lepasan universiti yang masih lagi menganggur.

“Hmmm... sudah bu. Macam ni lah bu... Apapun pilihan ibu dan ayah,A uni terima.” Sambil menyimpulkan senyuman aku berkata kepadanya.

***
“Assalamualaikum wbt, dah sampai mana tu? China? Ke Korea lagi?” kedengaran suara garau menegur aku yang tika itu sedang melihat jari jemariku yang kemerahan dihiasi inai.

“Waalaikummussalam wbt. Mana adalah! Teringat kat tetamu yang datang petang tadi. Kawan sekolah terutamanya. Abang nak air? Auni buatkan?” laju aku mengelak dari disakat oleh si suami berterusan.

“Esok kita pergi ke suatu tempat yang paling istimewa nak? Abang ada ‘something’ nak tunjuk dekat Auni.” Suami aku mengubah topik perbualan. Aku mengambil peluang memerhati segenap inci wajahnya. Kacak! Lelaki ini, yang berada di hadapanku adalah suamiku. Bagaikan mimpi disiang hari!

[Keesokannya]

“Kenapa abang bawak Auni datang ke sini? Tiada apa yang istimewa pun.” Jujur aku meluahkan pendapat aku. Benar, tiada apa yang istimewa jika dilihat. Hanya laluan dari bilik guru ke pejabat sekolah sahaja. ‘Suami aku ni entah betul ke tidak.’ Ngomel aku seorang diri.

“Di sinilah tempat pertemuan pertama kita. Waktu tu, Auni tengah berborak dengan teman Auni, abang dekat hujung tangga tu asyik lihat gelagat Auni sahaja. Abang ingatkan selama ini dengan mengambil Auni sebagai ‘girlfriend’ abang, abang dah berjaya. Dengan mendekati Auni dan juga keluarga Auni, fikir abang dah buat perkara yang betul. Tetapi ternyata hubungan yang haram itu tidak akan mendatangkan apa-apa faedah pun.” Panjang lebar penjelasan Farish.

Lima minit kemudian dia menyambung lagi ucapannya apabila melihat diriku yang kaku membatu seolah tidak berpuas hati dengan penjelasannya.

“Bila abang dekat Mesir, abang rasa abang bersalah, berdosa sangat. Abang sayangkan Auni sangat, tetapi abang heret Auni menghampiri neraka. Kita tidak melakukan zina terang-terangan. Kita tidak berjumpa apatah lagi untuk bersentuhan. Tapi. Kita melakukan zina hati. Abang rasa tak tenang setiap kali abang rindukan Auni. Sebab itulah abang mengambil keputusan untuk menjauhkan diri dan dalam masa yang sama abang berusaha untuk menjadi hamba-Nya yang terbaik agar abang dapat menjadi imam Auni dan berjaya membentuk keluarga kita dengan bahagia sebenarnya. Siang malam abang berdoa agar abang dipertemukan dengan Auni dalam ikatan yang sah dan halal. Selepas menghabiskan pengajian di Mesir, abang ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur. Abang akui, abang bersalah, abang tidak menghubungi Auni sedangkan abang dah berjanji sebab…” ayatnya terhenti disitu.

“Abang dah tak sayangkan Auni?” Sedikit kecewa aku mendengar bait-bait patah yang keluar dari mulutnya.

“Bukan macam tulah sayang. Sebab abang percaya pada janji Allah.” Jelasnya lagi tatkala melihat wajahku yang sedikit mencuka masam.

“Perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki yang keji dan lelaki-lelaki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji, sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.” (Surah Al-Nur ayat 26)

“Abang minta pertolongan naqib abang. Abang sangat gembira tatkala melihat gambar Auni yang sudah menutup aurat dengan sepenuhnya. Abang minta ibu dan ayah merahsiakan lamaran abang terhadap puteri tunggal mereka kerana abang takut Auni menolak jika Auni mengetahui abang lah si jejaka kacak itu. Abang minta maaf sayang.” Sempat lagi dia berseloroh lalu memohon maaf atas kehilangannya dahulu.

“Abang fikir Auni marahkan dan berdendam dengan abang ya?” soal aku kepadanya. Tergamak!

Perlahan-lahan dia mengangguk kepala. Ketawa besar aku melihat telatahnya tika itu. ‘Auni masih seperti dahulu, takkan berubah.’ Yakin ku hanya di dalam hati.

“Auni dah lama maafkan dan juga terima segalanya sejak dari perpisahan itu.Sebab Auni percaya pasti ada hikmah di setiap apa yang berlaku. Terima kasih abang, sudi mengambil Auni untuk menjadi permaisuri hidup abang. Dan tunaikan janji abang untuk PIMPIN AUNI KE SYURGA.”

Alhamdulillah, akhirnya kami dipertemukan dalam ikatan yang sah. Aku bahagia kerna aku telah dipilih oleh-Nya sebagai isteri yang sah Farish bin Ali.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?