Rayuan kes liwat Anwar masuk hari kelapan, dijangka berakhir hari ini


PUTRAJAYA, 7 November – Perbicaraan rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan kesalahan meliwat dan hukuman penjara lima tahun, masuk hari kelapan di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini, dengan pasukan pembelaan menggulung hujahnya bagi membalas hujah pendakwa.

Perbicaraan itu, yang pada mulanya ditetapkan selama dua hari mulai 28 Okt, berlarutan selama lapan hari dan dijangka berakhir hari ini.

Besar kemungkinan mahkamah tidak akan memberi keputusannya hari ini dan menetapkan hari lain untuk berbuat demikian kerana kedua-dua pihak telah mengemukakan hujah panjang lebar dan banyak kes undang-undang disebut dalam rayuan ini.

Rayuan itu didengar panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria. Empat hakim lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Hari ini, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, yang mengetuai sepasukan 15 peguam mewakili Anwar, meneruskan hujahnya dan akan menggulung hujah pihak pembelaan terhadap perkara yang dibangkitkan pihak pendakwaan.

Semalam, Sri Ram serta anak-anak mendiang Karpal Singh Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo masing-masing mengemukakan hujah mereka.

Karpal Singh, 73, yang menjadi peguam bela Anwar dalam kes ini sejak dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, maut dalm kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung pada 17 April tahun ini.

Dalam rayuan itu, Anwar, 67, memohon kepada Mahkamah Persekutuan mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun ini setelah mengubah keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar.

Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pihak pembelaan berusaha membebaskan ketua pembangkang itu daripada sabitan kesalahan meliwat, manakala pihak pendakwaan pula meminta mahkamah menolak rayuan Anwar agar sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya diketepikan.

Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful dengan alasan mahkamah itu tidak pasti 100 peratus tentang integriti sampel yang diambil bagi ujian DNA daripada individu yang didakwa menjadi mangsa.

Mahkamah itu memutuskan bahawa sampel berkenaan mungkin telah diusik sebelum sampai kepada Jabatan Kimia untuk dibuat analisis.

Bagaimanapun, ketika mensabitkan Anwar dengan kesalahan meliwat itu, Mahkamah Rayuan berpendapat hakim perbicaraan terkhilaf dalam dapatannya tentang sampel berkenaan, yang didasarkan kepada keterangan dua saksi pakar yang dipanggil pihak pembelaan.

Sekiranya Anwar kalah dalam rayuan ini, beliau boleh hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutan yang menyebut bahawa seseorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan sekiranya beliau dikenakan hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih RM2,000.

Ini kes liwat kedua melibatkan Anwar.

Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya Azizan Abu Bakar di Tivoli Villa di sini pada 1994, dan dihukum sembilan tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.

Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar menjalani hukuman itu selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan rasuah. Beliau didapati bersalah terhadap empat tuduhan rasuah pada 4 April 1999.

Bagaimanapun, setelah merengkok selama hampir enam tahun di penjara kerana rasuah, beliau dibebaskan pada 2 Sept 2004 apabila Mahkamah Persekutuan, yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudian menjadi Ketua Hakim Negara, mengubah sabitan kesalahan dan mengetepikan hukumn penjara terhadap Anwar bagi tuduhan meliwat Azizan dalam keputusan majoriti 2-1.

Abdul Hamid dan Hakim Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud membuat keputusan yang memihak kepada Anwar, manakala keputusan Hakim Datin Paduka Rahman Hussein pula adalah sebaliknya. Bagaimanapun, Abdul Hamid, yang menulis penghakiman majoriti itu, berkata para hakim berkenaan mendapati Anwar dan tertuduh bersama, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, “terlibat dengan kegiatan homoseksual” dan oleh itu para hakim terdorong untuk mempercayai bahawa perbuatan liwat yang didakwa itu memang berlaku. – BERNAMA

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?