Semua pusat pemindahan banjir Terengganu ditutup
KUALA TERENGGANU - Operasi kesemua pusat pemindahan banjir di Terengganu ditutup secara rasmi pada 4 petang tadi, demikian menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu.
Pusat pemindahan terakhir yang ditutup ialah di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak di sini, yang menempatkan 234 orang daripada 53 keluarga lebih seminggu lepas, dan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Banjir yang melanda negeri ini bermula sejak 17 November lepas, menjejaskan lima daerah di Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan sebahagian kecil Dungun, kata MKN dalam portalnya.
Bencana alam itu turut mengorbankan dua nyawa di negeri ini, seorang remaja perempuan Norsyakirah Izzati Nazliza, 13, yang ditemui lemas dalam telaga di belakang rumah datuknya di Kampung Jelapang, Bandar Permaisuri, Setiu.
Orang kurang upaya (OKU), Muda Abdullah, 48, menjadi korban kedua banjir selepas ditemui lemas dalam sebuah alur sungai di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, dekat sini. - Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan