SIS: Barah yang perlu dibuang daripada masyarakat Islam
Islam merupakan cara hidup yang lengkap. Islam juga menitik beratkan kebaikan untuk masyarakat secara umum. Hukum dan undang-undang Islam diturunkan untuk memelihara maslahah masyarakat supaya sentiasa berada dalam keadaan sejahtera dan selamat.
Undang-undang hudud dan juga takzir adalah bertujuan untuk memelihara manusia daripada kerosakan dan kejahatan diri sendiri ataupun manusia lain. Ia merupakan garis panduan yang jelas supaya manusia saling menghormati hak dan milik orang lain daripada dicerobohi tanpa sebab.
Islam telah menetapkan satu prinsip utama dalam mengurus kehidupan bermasyarakat. Prinsip itu adalah amar makruf dan nahi munkar iaitu menyeru kepada kebaikan dan menghalang daripada kemungkaran. Ini adalah tonggak utama bagaimana Islam menawarkan penyelasaian yang mutlak.
Syed Qutb (1966) menulis dalam pendahuluan Surah An-Nisa’, bahawa hikmah Allah memilih golongan buta huruf di Semenanjung Arab sebagai pembawa risalah Islam kerana mereka melambangkan kerendahan nilai secara total daripada semua aspek; aqidah, intelektual, moral, ekonomi, akhlak, sosial dan politik. Ini membuktikan manhaj Islam berjaya meningkatkan mereka ke tahap yang tertinggi dalam tamadun kemanusiaan. Allah swt memberikan kefahaman kepada kita bahawa Islam bukan hanya diturunkan untuk individu semata-mata. Bahkan Islam itu adalah untuk membentuk sebuah masyarakat yang hidup berpaksikan kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Islam mesti diamalkan dalam konteks sebuah masyarakat dan seterusnya membina sebuah negara yang merdeka daripada kongkongan musuh.
Bagi mencapai pembentukan sebuah masyarakat Islam, ia mestilah dipelihara daripada elemen-eleman yang boleh membawa kepada kejatuhannya. Umar al-Khatab pernah ditanya tentang kebarangkalian sebuah tamadun masyarakat Islam itu runtuh sedangkan ia berada di puncak kegemilangan, lalu beliau berkata:
إذا علا فجارها أبرارها وساد القبيلة منافقوها
“Jika golongan yang jahat itu lebih dominan daripada yang baik dan golongan munafiq berkuasa”.
Konsep amar makruf dan nahi munkar bertujuan untuk memastikan maslahah masyarakat Islam sentiasa dijaga dan dilindungi daripada segala bentuk ancaman pemikiran, budaya, sosial dan juga nilai. Ini merupakan benteng ampuh yang diumpamakan kota-kota pertahanan yang kukuh. Musuh perlu membayar bayaran yang terlalu mahal untuk menembusinya.
Kehebatan formula amar makruf dan nahi munkar adalah kerana ia merupakan satu langkah pencegahan. Islam berdiri atas kaedah unggul ini dalam banyak hukum hakamnya. Menolak kerosakan (dar ul mafasid) itu merupakan salah satu maqasid syarak yang perlu dicapai. Islam menyelasaikan sesuatu masalah sebelum ianya terjadi.
Rasulullah saw sendiri menggambarkan suasana masyarakat yang tidak mengamalkan budaya amar makruf dan nahi munkar seperti membiarkan sekumpulan penumpang kapal menebuk lubang pada kapal untuk mendapatkan air, sekiranya penumpang lain tidak menegur perbuatan tersebut semua mereka akan karam. Kesannya akan ditanggung oleh masyarakat secara umum bukan hanya mereka yang melakukan kesalahan sahaja.
Dunia sekarang menjadi lebih rumit dengan kemunculan idea-idea baru tentang pemahaman terhadap permasalahan sosial dengan fahaman yang kononnya memberi nafas baru kepada pengamalan agama di dalam masyarakat. Fahaman ini menyeru kepada kebebasan mutlak untuk manusia menggunakan akal dan kehendak nafsu tanpa panduan syarak. Seruan ini bertopengkan kebaikan sedangkan ianya hanya membawa kemusnahan kepada kehidupan sesebuah masyarakat.
Aliran pemikiran sesat ini tidak akan mampu menembusi ruang kehidupan masyarakat Islam di Malaysia. Masyarakat Islam akan memastikan cita-cita golongan liberal untuk idea-idea yang bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah untuk tersebar di dalam masyarakat berkubur tanpa nisan. Ini adalah satu bentuk kemungkaran yang bersifat wabak. Jika wabak ini tidak dihalang, seluruh masyarakat akan menanggung akibat daripada penyakit yang merebak ini.
Apa yang dilakukan oleh ISMA dalam tugasannya menerangkan kepada masyarakat berkenaan agenda musuh liberal, pluralisme, kristianisasi dan juga ajaran Syiah adalah satu bentuk amar makruf dan nahi munkar. Ia adalah satu tanggungjawab yang dipikul untuk memelihara maslahah masyarakat Islam di Malaysia. Masyarakat yang telah memahami tentang ancaman ini akan menjadi pengawal-pengawal yang akan mempertahankan Islam daripada dicemari.
Fatwa yang dikeluarkan oleh badan yang berautoriti dalam menghadapi ancaman golongan ini juga adalah satu tanggungjawab amar makruf dan nahi munkar. Golongan liberal seperti Sister In Islam (S.I.S) perlu dihalang kerosakannya dengan fatwa seperti ini. Mereka adalah barah yang perlu dibuang daripada peta kehidupan masyarakat Islam di Malaysia.
Fahaman songsang yang mereka bawa bukanlah berumur 1 atau 2 tahun tetapi sudah lebih 10 tahun disebarkan di dalam masyarakat Islam di Malaysia. Sebut sahajalah samada berkenaan isu penutupan aurat, kesamarataan antara lelaki dan perempuan, penentangan terhadap poligami, penentangan terhadap hudud bahkan hingga ke tahap bekerjasama dengan COMANGO sebagai suatu ahzab demi menggugat kedaulatan Islam di negara ini.
Bagi saya, kita tidak memerlukan penjelasan yang panjang kerana masyarakat sendiri sudah sedia maklum dan pelbagai pihak telah berjumpa dan menegur atas barah penyakit yang mereka cuba tanam dalam jiwa masyarakat Islam hari ini.Kita tidak perlu menunggu untuk fahaman songsang S.I.S berkembang menjadi fahaman yang diterima pakai oleh kebanyakan masyarakat Islam untuk bertindak, kerana ketika itu nasi sudah menjadi bubur.

Ustaz Shuhaib Ar Rumy bin Selamat
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan