Tidak logik jual arak di kawasan majoriti Islam, kata penduduk
BANGI, 28 Nov – “Tidak ada logiknya mahu menjual arak secara besar-besaran di kawasan yang majoritinya adalah Islam.
“Kalau nak jual sangat, baik mereka mencari tempat dan kawasan yang majoritinya bukan muslim,” demikian luahan penduduk Bandar Baru Bangi, Siti Fauziah di ‘Himpunan Umat Islam Bangi Bantah Arak’ yang bermula di perkarangan Masjid Al-Hasanah dan berarak menuju Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat hari ini.
Katanya, Bangi ini majoritinya 90% adalah muslim. Jadi, tujuan pasaraya Aeon Big untuk menjual dan menyimpan stok arak, tidak mungkin sama sekali akan diterima.
Untuk itu, diharapkan dengan bantahan yang dihantar, pihak berkuasa tidak akan meluluskan permohonan lesen tersebut.
Seorang lagi penduduk Bangi, Haji Kamarul ketika ditemui berkata, pasaraya tersebut tidak ada hak untuk menjual arak secara terbuka di kawasan yang majoritinya adalah bergama Islam.
“Mereka sepatutnya memikirkan sensiviti umat Islam.
“Kita harap pihak berkuasa akan membatalkan sebarang lesen yang berkiatan dengan arak. Ini bertentangan dengan Islam,” tegasnya.
Kira-kira 400 orang penduduk Bangi hari ini berarak dari Masjid Al-Hasanah ke Pejabat Daerah Hulu Langat bagi menyatakan bantahan mereka kepada permohonan lesen penjualan arak secara pukal oleh pasar raya Aeon Big (M) Sdn. Bhd.
Perhimpunan itu disusuli dengan penyerahan nota bantahan kepada Pengerusi Lembaga Perlesenan Daerah Hulu Langat yang diwakili oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah, Puan Nor Azurah Nasir.
Menurut Puan Nor Azurah, kita mengalu-alukan bantahan seperti ini jika penduduk tidak bersetuju. Ini adalah satu prosedur.
“Setakat ini kita telah terima lebih 20 bantahan. Semua bantahan ini akan diproses semasa Mesyuarat Lembaga Pelesenan Eksais Daerah Hulu Langat pada 17 Disember ini,” katanya.
Walaubagaimanapun tambah beliau, permohonan lesen untuk menjual arak adalah perkara biasa kepada mana-mana daerah.
“Cumanya, sebelum permohonan itu dikemukakan kepada kita, kita minta pihak berkenaan iklankan terlebih dahulu.
“Itu merupakan satu syarat, ketika hantar borang, pemohon perlu menghantar sekali keratan akhbar.
“Sekiranya ada apa-apa bantahan, permohonan lesen tersebut tidak akan diterima,” jelasnya.
Sementara itu, petisyen atas talian yang diusahakan oleh ISMA Cawangan Daerah Hulu Langat (ISMA DHL) sebelum ini telah mendapat respon sebanyak 23 ribu orang.
ISMA DHL juga akan menghantar surat bantahan kali kedua beserta senarai penuh petisyen yang dikumpul kepada Pengerusi Lembaga Pelesenan di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat dan salinan sama akan dihantar kepada YDP Majlis Perbandaran Kajang dan pejabat YB Adun Bangi.
![]() | |
Pegawai eksekutif ISMA Hulu Langat Syed Zahiruddin Syed Hashim turut menyertai himpunan bantahan selepas solat Jumaat tadi di hadapan Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat. |
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan