Ukhuwah bukan pada yang manisnya sahaja


Hakikatnya , kita sebagai manusia mempunyai fitrah untuk saling berkenal-kenal. Cuba anda bayangkan sekiranya anda tidak mempunyai kawan, walaupun seorang, adakah anda mampu untuk menjalani hidup dengan normal?

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu bermasyarakat dan berpuak-puak, agar kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya yang termulia daripada kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling tinggi takwanya.”

(Al-Hujurat: 12)

Namun begitu, konsepsi ukhwah sering dikaitkan dengan perkara yang manis dan indah sahaja tanpa dirungkai bahagian ‘TUNTUTAN PENGORBANAN’ demi mencapai maksud ukhwah sebenar.

Ada orang berukhwah kerana ingin berubah menjadi lebih baik, ada pula kerana ingin bersama-sama dalam melakukan kebaikan, ada yang mengharapkan agar mereka berukhwah untuk bersama-sama di kala susah dan senang , dan macam-macam harapan lagi yang diimpikan .

Maafkan Aku Kawan 

Apakah yang dimaksudkan dengan pengorbanan dalam berukhwah ?

Bukankah ukhwah ini sesuatu perkara yang manis dan “sweet “?

Benar, tapi...

Banyak hati yang perlu dijaga dan disamping itu banyak juga tanggungjawab yang dipikul. Kadang-kadang, oleh kerana tanggungjawab yang lebih besar signifikannya, ada hak yang terpaksa kita korbankan . Sebagai contohnya , anda sudah berjanji dengan sahabat baik anda untuk menemannya membeli- belah pada esok harinya , namun secara tiba-tiba anda diberikan tugas untuk terlibat dalam satu program di kolej anda pada waktu yang sama. Secara tidak semena-mena anda menjadi tidak keruan dan rasa bersalah , ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Anda cuma mengharapkan agar sahabat anda faham akan urgensi tanggungjawab tersebut. Lalu, anda perjudikan ukhwah tersebut demi sebuah tanggungjawab yang anda pikul. Berat hati untuk membatalkan janji tersebut, namun anda terpaksa .

Ini adalah hanya sebagai contoh , situasinya boleh berubah mengikut pola keadaan yang anda hadapi.

Kita semua adalah pemimpin , kalau bukan pemimpin ummah sekalipun , kita tetap seorang pemimpin , sekalipun untuk diri kita sendiri . Namun , adakah kita hidup hanya untuk diri kita sendiri?

“Jika hidup hanya sekedar hidup, babi di hutan juga hidup. Jika bekerja hanya sekedar bekerja, kera juga bekerja.”

Petikan daripada kata-kata Buya Hamka.

Jelas dan secara sinisnya  bahawa apa yang ditekankan oleh pendakwah tersebut bahawa eksistensi kita di dunia ini bukanlah hanya hidup untuk diri sendiri sahaja tanpa berbakti kepada nusa dan bangsa. Ohh ya, dan agama sekali.

Nahh, terbukti, anda adalah pemimpin .

Ukhwah dan Kepimpinan?

Apa kaitannya sikap kepimpinan dan ukhwah?

"Sofistikated sangat relevansi dua istilah ini. Tak faham."

Relaks dulu brothers sisters, nah baca ni:

Ukhwah yang segar adalah ukhwah yang saling bertoleransi dan memahami satu sama lain. Menerima kekurangan dan kekuatan satu sama lain . Kadang-kadang kita terlalu mengharapkan sesuatu dalam persahabatan sehinggakan terlupa bahawa kita bukanlah berkawan dengan seorang malaikat. Se-alim mana pun dia, selaju mana pun kerja dakwahnya, sehebat mana pun qudwahnya, dia tetap ada kekurangan.

Dan apabila kekurangannya mula terlondeh satu persatu, adakah kita masih menjadi “sahabat “ baiknya? Cuba memahami tanggungjawabnya/masalahnya atau kita mula perkasakan ego kita, sensitif tak tentu pasal dan akhirnya ukhwah terbabas di pintu syurga. Mulalah segala prasangka buruk yang hadir seperti:

"Kau tak sayang aku, selama ini aku ingat kau lah kawan sejati."

"Kau hanya pentingkan kerja kau , hati aku siapa nak jaga?"

"Kala kau gembira ku disisi, kala ku berduka kau lari."

Dan sebagainya, tanpa mengambil sikap rasional dalam berkata-kata, hanya emosi yang bermaharajalela.

Manakala, seorang pemimpin itu pula hatinya kuat, pandai mengawal keadaan, tidak mudah melatah, tidak sensitif dengan perkara yang remeh-temeh dan banyak lagi. Lihat saja peribadi Rasulullah S.A.W., seorang pemimpin yang berwibawa bukan? Bukanlah mahu disamakan peribadi kita dan Rasulullah, nun jauh nian perbezaannya.  Namun, apa salahnya sekiranya kita cuba berusaha menjadi seperti baginda?  Jika tidak pun baginda, cukuplah kisah para sahabat untuk dijadikan teladan buat kita. Contohnya seperti peristiwa ini:

Saidina Umar tidak pun berkecil hati apatah lagi merajuk ketika Rasulullah tidak memilihnya untuk menjadi hakim bagi rombongan Kristian yang meminta untuk menyelesaikan perbalahan antara mereka. Sebaliknya Rasulullah S.A.W. memilih Abu ‘Ubaidah  Al-Jarrah. Meskipun Saidina Umar sangat berharap agar Rasulullah memilihnya.

Cuba anda bayangkan sekiranya Saidina Umar berkecil hati? Seorang Amirul Mukminin sensitif tidak tentu pasal? Merajuk? Saya biarkan untuk anda berfikir.

Terima Kasih Kawan 

Dalam pada episod fitnah persahabatan yang diolok-olokkan oleh syaitan, cuba anda ambil masa untuk refleksi diri sejenak, ambil masa untuk menimbang tara, menyelami kekusutan tersebut. Cuba berfikir tentang seribu kebaikan yang pernah dia lakukan daripada mencari satu kesalahannya. Tajdid semula niat, atas dasar apakah anda berkawan dengannya? Semata-mata untuk ber-huha huha bersamakah? Atau lebih besar dari itu?

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (jika mereka berselisih), dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat."

(Al-Hujurat: 10)

Tiada gunanya bersengketa kerana agama ini memerlukan tenaga untuk dilepaskan kepada arah yang lebih bermanfaat daripada disalurkan pada pergaduhan yang merugikan.

Setelah anda berfikiran secara rasional, In shaa Allah, saya yakin bahawa anda pasti akan dapat menerima kekurangan dirinya dan ianya akan menjadikan persahabatan itu lebih matang dan secara tidak langsung anda dapat perbaharui semula niat anda berukhwah. Mungkin pada saat dulu, anda berkawan dengannya kerana dia banyak menolong anda atau dia yang menarik anda untuk lebih kenal kepada agama ini .

Namun, setelah anda perbaharui niat, pasti anda akan ketemukan bahawa sebenarnya anda juga bertanggungjawab untuk menolongnya saat dia mungkin tersasar kerana dia tetap seorang manusia. Dahulunya, mungkin tidak terlintas langsung berukhwah kerana ingin mencapai keredhaan ilahi, yelahh, dulu rock-rock sikit, mana nak faham “mencapai keredhaan ilahi “ tu apa? Tetapi, mungkin sekarang anda sudah faham dan kenapa ukhwah menuntut pengorbanan.

Daie dan Ukhwah 

“Perkara pertama yang akan rosak ialah jiwa, menyebabkan ia tidak bermaya lalu semangatnya mulai luntur , motivasinya lemah dan sentiasa dibuai kemewahan dan keseronokan. Akibatnya kehidupannya juga tidak bermaya ataupun hanya aktif untuk memenuhi kehendak nafsu semata-mata. Inilah sebenarnya yang berlaku kepada bangsa bangsa yang pernah diuji dengan nikmat kemewahan."

Petikan daripada buku Haza Ad-deen (Inilah Islam) bab Manhaj Untuk Manusia yang dikarang oleh Sayyid Qutb.

Saya berminat untuk menekankan frasa “ keseronokan “ dalam petikan tersebut. Dalam berukhwah, sekali-sekala bolehlah berseronok tetapi kadang-kadang tidak kena juga caranya apabila asyik nak berseronok. Kadang-kadang perlu juga bersusah payah, perlu juga untuk korbankan sesuatu, perlu juga merasa perit dalam berukhwah. Dalam konteks seorang daie kerana daie itu banyak tanggungjawabnya dan sia-sia lah sekiranya dia hanya menumpukan permasalahan ukhwah daripada memikirkan masalah ummah. Apa-apa pun, tidak dapat disangkal bahawa ukhwah itu adalah kunci utama bertautnya hati insani di jalan Allah. Daie juga perlu menitik beratkan soal persahabatan kerana Rasulullah bersabda:

“Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi  untuk saudaranya  apa yang dia kasih untuk dirinya sendiri.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga penulisan ini membuka mata kita untuk terus membaja ukhwah daripada stagnasi dan kuat dalam menghadapi mehnah dan fitnah ukhwah. Semestinya, penulisan ini haruslah terkesan kepada saya dahulu, barulah kepada pembaca yang dikasihi. Wallahu’alam.


Muhd Khairullah bin Muhamad
Pelajar Perubatan Tahun 2, Melaka Manipal Medical College (MMMC)
Aktivis ISMA India, Zon Selatan

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?