UniSZA, UMT meterai MoU bersama Jabatan Penjara


MARANG, 13 November - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengorak langkah proaktif apabila masing-masing menjadi universiti kedua dan ketiga memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Penjara selepas Universiti Malaya (UM).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan) UniSZA, Prof. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata penyelidikan yang dilakukan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pihak universiti dalam membangunkan Rawatan Komprehensif Penagihan Opiate.

Beliau yang juga merupakan peneraju kumpulan penyelidik bagi Skim Geran Penyelidik Nic Kementerian Pendidikan (NRGS-KPM) berkata kajian dan kaedah perawatan dengan menggunakan air zam-zam dan herbatus sauda selain menghasilkan satu modul khas berkaitan yang akan dikenali sebagai i-Kasih.

"Kajian dengan menggunakan bahan tersebut adalah alternatif terbaru bagi mengurangkan pengambilan Methadon di kalangan para penagih.

"Kaedah yang kita lakukan ini lebih kepada perawatan secara Islam dan pada akhir kajian nanti, kita akan keluarkan satu indikator iaitu IQOL atau Islamic Quality of Life dengan harapan apa yang kita buat ini akan jadi alternatif perawatan dadah yang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi lawatan dan menandatangani MoU berkaitan bersama Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar di Penjara Marang di sini hari ini.

Menerusi MoU itu, UniSZA diberi geran bernilai RM5 juta untuk menjalankan projek dan kajian berkaitan tiga disiplin iaitu perubatan, pengajian Islam dan sosial sains dalam tempoh lima tahun.

Manakala UMT yang akan menjalankan kajian berkaitan sifat kognitif dan kaunseling diberi geran sebanyak RM82,000 untuk projek selama tiga tahun yang dijangka bermula awal tahun depan.

Sementara itu Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Seri Omar Zulkifli berharap kerjasama yang terjalin bersama dua universiti itu akan memberikan impak positif terhadap usaha Jabatan Penjara untuk memulihkan banduan sebelum kembali menjalani kehidupan bersama masyarakat.

Katanya sebelum ini UM yang hanya menjalankan kajian berkaitan metadon dan pemulihan dari segi holistik bersama Penjara Kajang, kajian yang dilakukan oleh kedua-dua buah universiti dari Pantai Timur dengan kerjasama Penjara Marang ini lebih menyeluruh.

"Ketiga-tiga kerjasama ini (termasuk dengan UM) adalah dalam bentuk kajian yang berbeza dan menerusi persefahaman ini kita dapat menghasilkan impak yang besar untuk digunakan pakai bagi menangani permasalahan ini.

"Jikalau berkesan, berkemungkinan kita akan teruskan kerjasama ini pada masa depan termasuk di sekolah-sekolah dan sebagainya," katanya. - Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?