Ustaz Abdullah pencetus idea KL Summit
KUALA LUMPUR, 12 November – Penganjuran persidangan antarabangsa KL Summit yang sedang berlangsung ketika ini merupakan cetusan idea Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berdasarkan perkembangan yang berlaku di negara-negara Arab dan Islam.
Persidangan yang berlangsung selama tiga hari di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur ini menghimpunkan tokoh, pemikir dan intelektual Islam Timur Tengah untuk berbincang dan mencari formula bagi membangunkan negara-negara Islam dan mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi.
Ketika ditemui beliau berkata, idea ini tercetus ketika beliau sedang menghadiri satu persidangan di Istanbul, Turki.
“Ketika itu sahabat-sahabat Arab meminta pandangan saya cara nak membantu orang Arab.
“Jadi inilah hasilnya. Kita bermula dengan ‘Persidangan Antarabangsa Pemikir-pemikir Islam (IMTC 2014) pada 30 April hingga 1 Mei lalu yang menghimpunkan 40 pemikir-pemikir Islam dari 14 buah negara.
“Semasa persidangan itu, semua peserta bersetuju untuk mengadakan persidangan tahunan yang lebih besar dan memilih Malaysia sebagai tempat persidangan.
“KL Summit yang dirancang berjaya mengumpul pemikir-pemikir Islam dari lebih 21 buah negara,” ujar beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Persahabatan Malaysia-Turki (MTF Foundation).
MENCARI FORMULA SELESAI MASALAH UMAT ISLAM
Ustaz Abdullah berkata, umat Islam hari ini ketandusan formula bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi termasuklah isu pendidikan, pembangunan, ekonomi dan lain-lain.
“Melalui persidangan ini, kita garap pemikir-pemikir Islam dari pelbagai negara, kita mencari solusi, mencari formula.
“Tanpa formula, masalah-masalah di negara Islam tidak akan selesai. Contohnya dalam isu Palestin, selagi masalah di negara-negara Arab belum selesai, selagi itulah isu Palestin tidak akan selesai,” katanya lagi.
PERANAN GERAKAN ISLAM DI SESEBUAH NEGARA
Ujar Ustaz Abdullah, selaku gerakan Islam, ISMA bersikap proaktif dalam menjalankan apa-apa usaha untuk mencapai objektif.
“Mungkin ada yang berpandangan usaha ini sepatutnya dijalankan oleh kerajaan. Tetapi di sana ada ruang untuk NGO bergerak dalam kapasitinya bagi memastikan apa yang hendak dicapai boleh tercapai.
Kita lihat kerajaan-kerajaan di negara Arab mereka sentiasa memerlukan dan berhajat kepada NGO.
“Ini kerana mereka tidak mampu untuk menangani semua masalah yang dihadapi oleh negaranya sebagai kerajaan rasmi.
“Jadi peranan NGO atau peranan gerakan dakwah melalui saluran masing-masing, bagi saya sebenarnya boleh memberi impak yang besar untuk memandu dan menangani sesetengah masalah,” katanya kepada wartawan.
Tambahnya, dalam persidangan yang pernah dihadiri beliau di Sudan anjuran Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), mereka membincangkan mengenai dan kepentingan dan peranan NGO dalam sesebuah negara.
Ini berikutan mereka melihat kerajaan tidak mempunyai kapasiti untuk menyelesaikan sesetengah masalah yang timbul.
Oleh sebab itu, kita mengharapkan perbincangan dalam persidangan KL Summit ini mampu mendapatkan penyelesaian untuk setiap gerakan Islam mempraktikkannya di negara masing-masing.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan