#Banjir2014 – Sumbanglah melalui Yayasan Ikhlas
Assalamu’alaikum dan salam sejahtera,
Tahun ini warga Kemaman sekali lagi telah diuji dengan musibah banjir yang memusnahkan harta benda dan lebih menyedihkan dengan kehilangan nyawa yang tersayang. Ada di antara ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di Kemaman turut menerima musibah ini dan kami turut menghadapi ujian ini sama seperti anggota masyarakat di Kemaman.
Sebagai seorang muslim, apabila ditimpa musibah kita hendaklah mengucapkan doa istirja’ dengan harapan mendapat ganti yang lebih baik daripada apa yang telah musnah atau hilang akibat bencana ini.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Sesiapa yang meringankan daripada sesorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah s.w.t. akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan kepada orang yang kesempitan, Allah s.w.t. akan memudahkan kepadanya di dunia dan di akhirat…” (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan lain-lain)
Pada masa yang sama, Sahih Bukhari dan Sahih Muslim turut menceritakan:-
Abdullah bin Umar dan Aisyah binti Abu Bakar r.a.hum melaporkan Rasulullah s.a.w. menerangkan, “Tidak henti-hentinya Jibril a.s. berpesan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehingga saya sangka seolah-olah Jibril mahu memasukkan jiran ke dalam golongan waris.”
Sehubungan dengan itu, Yayasan Ikhlas sebagai sebuah agensi di bawah ISMA yang bergerak aktif dalam aktiviti-aktiviti bantuan kemanusiaan telah digerakkan untuk membantu meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa banjir.
Berdasarkan pengalaman banjir di Kemaman beberapa tahun kebelakangan ini, Yayasan Ikhlas telah berjaya menyampaikan bantuan terus kepada mangsa banjir yang terjejas teruk seperti di Kampung Air Putih, Kampung Seberang Tayor, Kampung Pasir Gajah, Kampung Bukit Mentok, Kampung Mak Chili dan kawasan lain.
Yayasan Ikhlas di Kemaman boleh dihubungi di talian hotline 018-966 1500 atau email di yikemaman@gmail.com. Rekod bantuan yang telah dihulurkan boleh dilihat melalui album gambar http://www.facebook.com/ismakemaman.
Yayasan Ikhlas di Kemaman amat mengalu-alukan sumbangan dalam bentuk bahan keperluan asas dan kewangan yang boleh disalurkan melalui akaun ISMA cawangan Kemaman di Maybank; 563028806604 dan Bank Islam; 13026010050961 dan memaklumkan terus kepada nombor yang tertera di atas. Pusat operasi banjir kini terletak di Mukim Geliga dan amat dekat dengan kawasan yang ditenggelami banjir.
Semoga segala sumbangan yang dihulurkan menerusi Yayasan Ikhlas di Kemaman ini akan mendapat keberkatan dan janji-janji Allah s.w.t. yang telah diceritakan seperti di atas.
Ustaz Haji Mohd Zulkifli bin Ibrahim
Yang Dipertua ISMA Cawangan Kemaman
Ulasan
Catat Ulasan