Dewan Negeri: Penggunaan e-book di sekolah rendah di Terengganu akan dimuktamad Januari 2015
KUALA TERENGGANU, 11 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri memperuntukkan RM50,000 kepada Institut Kajian Darul Iman (Idaman), Universiti Sultan Zainal Abidin untuk menjalankan kajian keberkesanan penggunaan E-Book bermula 1 Sept lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib memberi tahu Dewan Negeri, keputusan sama ada mahu diteruskan penggunaan E-Book itu akan dimuktamadkan pada Januari tahun depan setelah kajian selama empat bulan itu selesai.
"Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik diketuai Profesor Dr Ibrahim Mamat itu merangkumi semua aspek termasuk kesannya terhadap murid, guru dan pencapaian akademik sejak diperkenalkan enam tahun lalu.
"Secara purata kerajaan negeri membelanjakan antara RM18 juta hingga RM20 juta setiap tahun untuk mengagihkan E-Book kepada murid Tahun Empat di seluruh Terengganu," katanya ketika menjawab soalan Bazlan Abdul Rahman (BN-Batu Rakit) di persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Menurutnya, E-Book adalah sebuah komputer riba mini yang mempunyai perisian sukatan pembelajaran mengikut modul Kementerian Pendidikan dilengkapi perisian 30 juzuk al-Quran.
Menjawab soalan tambahan Mohd Mahdi Musa (BN-Kota Putera) mengenai nasib 566 Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) dan Juruteknik Komputer (TSO) yang kemungkinan berhenti kerja apabila penggunaan E-Book tidak diteruskan, Ghazali berkata kerajaan negeri memberi jaminan mereka akan diberi pekerjaan lain yang sesuai berasaskan kemahiran dalam teknologi maklumat.
Ketika ini semua EIO dan TSO ditempatkan di setiap sekolah untuk menyelesaikan semua permasalahan berkaitan aspek teknikal melibatkan E-Book.
"Pembayaran gaji EIO dan TSO tertakluk kepada skim perkhidmatan secara kontrak oleh Kerajaan Negeri, iaitu EIO memperolehi gaji pokok berjumlah RM1,700 sebulan, manakala TSO RM1,200 sebulan.
"Jumlah ini bergantung kepada kelulusan, memandangkan EIO ditawarkan kepada pemegang ijazah, manakala TSO kepada mereka yang memiliki diploma atau sijil yang berkaitan dengan komputer," katanya.
-- BERNAMA
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan