Setiap kita ‘boleh’ menulis
“Saya tidak pandai menulis, bahasa saya tidak berbunga-bunga”
“Saya tiada masa untuk menulis, idea tersangkut dalam kepala sahaja”
“Saya ada idea, tapi tidak tahu bagaimana ingin bermula”
Pelbagai alasan, mahupun halangan yang sering dilontarkan untuk tidak menulis. Menulis sering dilihat sebagai suatu yang sukar, mengambil banyak masa dan komitmen, serta hanya ekslusif kepada mereka yang mempunyai bakat menulis.
Bengkel Penulisan, yang dianjurkan oleh Biro Media Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kuantan yang sempat saya hadiri, sedikit sebanyak membuka minda, meleraikan kekusutan dan memberi pencerahan kepada peserta seperti saya, yang memahami kepentingan untuk menulis, tetapi sering terhalang lantaran ceteknya ilmu tentang dunia penulisan itu sendiri.
Hakikatnya, sama seperti kemahiran memandu, kemahiran memasak, menulis juga adalah satu kemahiran yang boleh dipelajari oleh sesiapa, dan dengan ilmu, latihan yang konsisten serta bimbingan dari jurulatih yang betul dan bertauliah, kemahiran ini dapat dipelajari, dibina dan dipertingkatkan.
Puan Noraini Nordin, selaku penceramah jemputan yang nyata tidak lokek berkongsi pengalaman beliau dalam selok belok penulisan, berjaya memberi panduan kepada peserta yang baru ingin bertatih dalam bidang ini. Beberapa catatan menarik untuk perkongsian para pembaca yang tidak berkesempatan untuk menyertai bengkel ini.
JELASKAN MATLAMAT; MENGAPA SAYA INGIN MENULIS
Matlamat yang jelas, akan menentukan iltizam dan kaedah bagi kita dalam melakukan sesuatu perkara. Ada yang menjadikan penulisan sebagai sumber pendapatan, ada yang menulis kerana minat, ada yang menulis kerana nama dan tidak kurang juga yang menjadikan penulisan sebagai medan jihad untuk berkongsi ilmu, idea dan pengalaman untuk manfaat yang lebih besar.
Tentukan niat mengapa kita ingin menulis dari awal, dan sentiasa kembali kepada niat tersebut agar stamina dan motivasi kita untuk menulis sentiada segar.
Sebaiknya, menulislah sebagai jihad dalam menyampaikan kebenaran, dan sewajarnya niat ini menjadi pendorong terkuat untuk kita menghadapi apa jua cabaran dengan optimis sepanjang perjalanan menyelesaikan penulisan kita dan yakinlah, dengan niat dan usaha yang betul, penulisan kita mampu diangkat menjadi ibadah.
ALASAN UNTUK TIDAK MENULIS HANYALAH HALANGAN YANG DIBINA OLEH DIRI SENDIRI.
Hakikatnya, alasan-alasan untuk tidak menulis seperti kesibukan, kekurangan idea, tidak pandai menulis dan pelbagai lagi adalah halangan-halangan yang dicipta oleh diri kita sendiri lantaran kejahilan kita dalam bidang ini.
Lazimkan diri membawa buku catatan kecil, dan apabila mendapat ilham mahupun idea, terus catatkan perkara tersebut di dalam buku kecil tersebut. Manfaatkan masa pagi yang berkualiti seperti sebelum atau selepas subuh untuk menulis. Cuba dapatkan sekeping gambar yang akan sentiasa mengingatkan kita kepada tema penulisan.
Jangan gusar memikirkan tajuk dan prolog di peringkat awal, kerana kedua perkara ini adalah perkara terakhir yang akan ditentukan setelah manuskrip disediakan. Mulakan dengan memilih tema penulisan, strukturkan tema kepada beberapa bahagian dan mulakan menulis.
Pastikan bahan yang cukup telah disediakan sebelum menulis, dan minta bantuan orang lain untuk mengumpulkan bahan fakta sokongan sekiranya perlu. Mulakan menulis rencana-rencana pendek sebagai latihan, dan untuk menulis buku, boleh bermula dengan menulis berdasarkan pengalaman mahupun peristiwa hidup yang dilalui sendiri kerana ianya lebih mudah.
PENULIS, BUKAN EDITOR
Sebelum ini, kefahaman saya adalah penulis perlu menulis dari awal sehinggalah hasil penulisan itu dipersembahkan kepada pembaca khalayak umum. Maka bagi yang tidak berapa mahir dalam pemilihan kata dan gaya bahasa, serta tidak kreatif dalam menjadikan bahan penulisan menjadi lebih menarik akan menjadikan kelemahan-kelemahan ini sebagai penghalang.
Hakikatnya, seorang penulis itu hanya perlu menulis, tugas untuk memperhiaskan dan mempercantikkan hasil penulisan agar mampu menjadi lebih ‘presentable’ dan mempunyai nilai komersil adalah tugas seorang ‘editor’. Dari bantuan editor, hasil penulisan dalam bentuk deraf akan disaring, disunting dan disusun semula mengikut plot cerita, keutamaan dan juga mengambil kira aspek perundangan dalam bidang penulisan agar kualiti dan hasil penulisan menjadi lebih menarik untuk bacaan umum.
Kesimpulannya, saya sangat bersyukur dan berasa bertuah dapat menyertai bengkel penulisan seperti ini. Benarlah, minat sahaja tidak mencukup. Diri perlu dilengkapi dengan ilmu, dan tunjuk ajar dari yang lebih berpengalaman untuk membantu kita melakukan sesuatu dengan kefahaman dan gerak kerja yang betul.
Semoga akan lahir lebih ramai penulis-penulis yang mampu menyampaikan fikrah Islam, mesej yang bermanfaat, idea yang bernas dalam usaha kita mendidik masyarakat dan menentang kegelojohan musuh Islam dalam menggunakan medium penulisan untuk menyerang, merosakkan mahupun melemahkan Islam dan umatnya.
Sesungguhnya, “mata pena itu lebih tajam dari mata pedang” , lebih-lebih lagi dalam pertembungan hari ini yang melihat medium penulisan sama ada di alam maya mahupun di alam realiti dalam medan perdana dalam menaikkan dan menjatuhkan sesuatu agenda.
‘SETIAP KITA, BOLEH MENULIS’
Dr. Norbaiyah Mohamed Bakrim
Aktivis ISMA Kuantan
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan