Ahli ISMA harus berjiwa besar, hayati visi si pengikat bata
GOMBAK, 19 Januari – Ahli ISMA diseru agar melihat segala usaha dan pengorbanan yang diberikan oleh setiap individu sebagai suatu langkah ke arah matlamat yang besar dan murni.
Walaupun tenaga dan signifikan usaha tersebut mungkin dilihat suatu yang kecil pada pandangan manusia, hakikatnya ia merupakan usaha ke arah mendaulatkan Islam di muka bumi ini dan sangat diberkati Allah.
Demikian initipati ucapan En. Mohd Zuraidi Zakaria selaku Yang Dipertua ISMA cawangan Gombak dalam ucapan pembukaan program retreat ahli jawatankuasa ISMA cawangan Gombak yang diadakan di Kuantan, Pahang.
Beliau memetik sebuah kisah tiga orang pekerja pengikat bata yang sedang membina sebuah rumah kediaman telah ditanya mengenai pekerjaan mereka.
Setelah ditanya, pekerja yang pertama mengatakan beliau sedang mengikat bata manakala pekerja kedua pula menjawab bahawa beliau sedang membancuh simen.
Namun apabila soalan yang sama diajukan kepada pekerja ketiga, beliau mengatakan bahawa beliau sedang ‘membina kehidupan’ yang membawa maksud bahawa rumah yang sedang dibinanya bakal diduduki oleh sebuah keluarga yang akan mempunyai kehidupan yang bahagia.
“Sikap memandang ke hadapan dan berjiwa besar seperti si pengikat bata ketiga harus dimiliki oleh ahli-ahli ISMA”, ujar En. Mohd Zuraidi.
“Walaupun sumbangan kita pada suatu ketika hanyalah menyusun kerusi di program-program anjuran ISMA, namun ianya tetap dikira sebagai sumbangan yang akan membawa kepada suatu matlamat yang lebih besar sebagaimana visi ISMA dan seluruh umat Islam iaitu untuk mendaulatkan Islam di muka bumi ini”, ujarnya.
ISMA mepunyai visi untuk membina kekuatan tamadun Islam di Malaysia berasaskan keadilan bersama dengan slogan ‘Membangun Umat Beragenda’.
“Jika Visi ISMA ini dapat dihayati, maka setiap ahli ISMA pasti akan melakukan segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan sungguh-sungguh dan mampu menjadi lebih proaktif untuk mengembangkan segala potensi yang ada”, tambahnya lagi.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan