Hakikat cinta


Assalamualaikum pembaca sekalian, hari ini penulis ingin berkongsi mengenai satu perkataan yang sering berlegar di sekeliling kita, iaitu cinta atau kasih. Pernah suatu hari penulis bersembang dengan rakan-rakan. Agaknya kan, kenapa ya orang masih bercouple? Tidak dinafikan, benar memang ada antara sahabat kita terlibat kerana sememangnya sahabat kita itu tidak tahu menahu bahawa couple adalah salah di sisi islam. Banyak pendapat ilmuwan islam yang boleh kita baca dan hadam mengenai isu ini. Namun, adalah menjadi pelik apabila, seseorang itu masih bercouple walaupun tahu ianya salah di sisi islam. Memuja-muja seseorang manusia atas kelebihan yang ada pada dirinya seperti wajah yang tampan atau cantik juga, adalah cinta nafsu. Lalu, apakah Islam melarang cinta? Bukankah islam itu sendiri adalah agama yang penuh dengan cinta? Namun penulis disini bukanlah mahu membincangkan tentang isu cinta antara bunga dan kumbang, kerana ia sudah pun disyarah dengan panjang lebar dalam blog-blog dan dikupas mendalam dalam kebanyakan majlis ilmu. Penulis sekadar ingin mengajak semua untuk duduk sebentar dan berfikir sejenak, apakah hakikat cinta yang sebenarnya?

Apabila dikhabarkan pada anda, ada seorang lelaki, dia bukan sesiapa pada anda, dia adalah saudara jauh yang anda tidak pernah bersua muka dengannya, anda dan dia berbeza zaman, tetapi lelaki ini pernah berkata, dia sangat khuatir dan bimbangkan anda, kerana fitnah akhir zaman yang sangat dahsyat. Saat lelaki ini merasa sakitnya sakaratul maut, dia masih teringatkan anda. Lelaki ini nampaknya begitu sangat cintakan anda. Dia punya banyak musuh, tapi ternyata musuhnya dalam diam, curi-curi mendengar bacaan alqurannya dari balik dinding rumah. Dia punya banyak teman, tapi setiapnya merasa seperti dirinya yang paling dikasihi oleh lelaki ini. Seringkali, isterinya bertanya, kenapa engkau beribadat pada tuhanmu, sedang engkau dijanji syurga? Lalu lelaki ini menjawab bahawa itu tanda syukurnya. Oh indahnya, pekerti lelaki ini, tidakkah kau jatuh cinta padanya? Baik lelaki mahupun wanita, semuanya akan tertunduk apabila terpandang wajahnya kerana tidak tahan terkena sinaran cahaya yang memancar dari rautnya. Betapa murninya cinta ini. Hingga hujung nyawa lelaki ini berjuang untuk agama yang anda anuti sekarang ini.

Mari kita lihat cinta dari sudut lain pula, cinta pada ibu bapa. Kalau benar, anak itu cinta pada orang tuanya, apakah sanggup dia membiarkan mereka di jalanan terbiar umpama melukut di tepi gantang, malah dianggap menyusahkan pula. Penulis sangat kagum dan hormat pada anak yang sanggup menjaga ibu bapanya di hari tua, tanpa mengharapkan balasan melainkan redha Allah semata-mata. Baru-baru ini penulis terbaca satu post mengenai seorang pak cik tua yang buta, duduk meminta sedekah di hadapan pasaraya. Pak cik tua itu  hanya diberi nasi kosong tanpa lauk sebagai bekal. Anaknya mengambil kesempatan atas kelemahannya dan menyuruh dia meminta sedekah. Di korea juga, penulis melihat ramai gelendangan ini terdiri dari warga tua yang sangat dhaif keadaannya. Penulis tertanya, di manakah anak-anak mereka, yang dibesarkan hingga menjadi orang kaya dan hebat, tapi akhirnya membuang ibu bapa sendiri di jalanan seperti sampah. Ayahmu saban malam gusar, apakah rezeki esok cukup untuk memenuhi perutmu. Ibumu saban malam khuatir kalau dia pergi dahulu, kelak siapa akan menjagamu? Mengapa cinta semulia ini kita abai, kemudian mengangkat pula cinta nafsu menjadi raja?

Cinta kepada guru. Ini juga isu panas. Di zaman serba moden ini, kecanggihan teknologi telah memudahkan manusia mendapatkan apa sahaja maklumat tanpa perlu berguru. Namun begitu, adakah ia bermakna kita bebas menghina dan merendahkan martabat guru kita? Zaman sudah berubah, tapi itu tidak bermakna akhlak kita perlu berubah menjadi lebih teruk. Sesiapa sahaja yang pernah mengajarmu suatu ilmu, maka dia adalah gurumu. Guru adalah insan mulia, kerana dia menyambung aliran ilmu dalam masyarakat. Lihat bagaimana para ulama mengangkat martabat guru mereka, hinggakan andai berbeza pendapat, itu tidak membuatnya menjadi kurang ajar dengan guru. Penulis melihat masalah kurangnya cinta pada guru akhirnya menjadikan generasi remaja kita berilmu tapi tidak berakhlak. Akhirnya ilmu yang tinggi menjadi tidak berguna kepada mereka, kerana gagal membentuk mereka menjadi insan. Kalau sekadar bekerja, gajah di hutan juga bekerja. kalau sekadar makan dan tidur, ayam itik juga begitu. Cinta pada guru itu perlu diterjemahkan kepada doa yang berterusan kepada mereka setiap kali selepas solat. Itu bukti kita mencintai mereka. Bukankah cinta itu membuatkan kita berusaha supaya orang yang dicintai itu bahagia? Betapa banyak cinta yang suci, kenapa kau cemari juga dengan cinta maksiat?

Cinta atas dasar akidah itu jauh lebih indah dari cinta atas dasar keduniaan seperti nafsu, wang, pangkat, glamor dan sebagainya. Saat kita melihat saudara seakidah kita bersusah payah merantau, meninggalkan anak isteri di negeri sendiri, malah datang ke negara kita untuk mencari rezeki yang halal. Kadang-kadang, kita tersalah mentafsir, kita memperlekehkan mereka dengan panggilan dan layanan yang tidak sepatutnya. Apakah kau pernah terbayang kesusahan mereka? Lihat saudara kita di Rohingnya, mereka itu tinggal sangat dekat dengan kita, tapi apa mampu kita buat untuk membantu? Penulis berasa amat sebak, apabila guru penulis menceritakan bahawa pelarian rohingnya ini ketika mahu menyelamatkan diri, menaiki sampan ke negara berdekatan, namun tidak dibenarkan masuk, di belakang maut menanti, mana mungkin berpatah balik, maka mereka berkampung di atas air mengharap ihsan saudara seagama. Namun, kita tidak pernah melihat mereka sebagai saudara. Air mata penulis bergenang apabila memikirkan perkara ini. Cinta suci kita terpisah dek perbatasan sempadan.

Penulis mengajak semua pembaca, mari kita renung kembali. Di mana kita letak baginda nabi, ibu bapa, guru dan saudara seakidah dalam carta cinta kita? Apakah mereka-mereka ini tersenarai di kedudukan selepas cinta nafsu kita seperti kekasih, artis dan hiburan? Astaghfirullah, penulis memohon maaf andai bahasa penulis bernada sinis, namun sudah menjadi tanggungjawab penulis mengajak semua kepada hakikat sebenar cinta. Selami lubuk hati, dan tanyalah pada iman, apakah hati kau masih bergetar saat kau terkenang cinta hakikimu?

Penulis: Siti Zulaiha binti Abd. Karim [Pelajar Tahun Akhir Inha Universiti]

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian