Kalimah Allah – Apa status kes Lim Guan Eng?
BANGI, 20 Jan – Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi diminta memberi jawapan berkenaan kes Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang sehingga kini masih tiada sebarang tindakan.
Pengerusi Badan Bertindak Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP), Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin, berkata Lim Guan Eng masih belum ditangkap atau dipanggil untuk siasatan berkaitan isu kalimah Allah yang dibangkitkannya.
“Sedangkan secara jelas beliau mengeluarkan kenyataan biadab menyuruh semua agama menggunakan kalimah Allah di Pulau Pinang.
“Jadi, kami mahu jawapan daripada Ketua Polis Negeri, apakah status kes ini?
“Adakah Guan Eng sudah disiasat? Kami juga ingin tahu apakah kertas siasatan sudah lengkap dan telah dihantar kepada pihak Peguam Negara?
“Mohon jawapan segera daripada pihak Ketua Polis Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di pejabat Persatuan Anak Melayu (PAGIM), Sungai Dua hari ini.
Disember lalu, Guan Eng dilaporkan mengeluarkan kenyataan membenarkan orang bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah Allah.
Beliau dilaporkan berkata, larangan penggunaan kalimah Allah yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 tidak terpakai kepada bukan Islam kerana penguatkuasaannya hanya sah kepada orang Islam.
Ustaz Hafiz berkata, beberapa laporan polis telah dibuat oleh pihaknya dan beliau sebelum ini difahamkan Ketua Polis Negeri bahawa kertas siasatan kepada kes ini telah dibuka.
“Tetapi tiada satu akhbar pun dalam negara ini yang melaporkan beliau disoal siasat oleh pihak polis.
“Bagi kami, dia perlu dikenakan tindakan kerana kenyataannya itu jelas menyalahi Seksyen 297A dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan