Memikul tanggungjawab Islam secara bersama – Khutbah Jumaat Negeri Perak


Khutbah Jumaat 16 JANUARI 2015:
“MEMIKUL TANGGUNGJAWAB ISLAM SECARA BERSAMA”
(Jabatan Agama Islam Perak)

Sidang Jumaat rahimakumullah,

Umur kita semakin bertambah dan hakikatnya kita semakin menghampiri garis penamat kehidupan yang sementara ini, maka jangan berlengah dan bertangguh lagi untuk mempersiapkan diri mencari bekal dalam perjalanan kita menemui Allah SWT. Dan sebaik-baik bekalan ialah kita mendisiplinkan diri kita mentaati perintah Allah dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Sidang Jumaat Yang Dihormati,

Seperti kita maklumi, negara kita masih belum reda sepenuhnya daripada musibah banjir, banyak harta benda yang musnah dan hanyut, tiba – tiba entah dari mana timbul gadis-gadis muslimah bertudung yang tenggelam dan hanyut dengan gelombang Kpop selepas gangnam style rela diperlakukan dengan kelakuan yang tidak boleh diterima sama sekali oleh Islam dan budaya timur. Dipeluk dan dicium di atas pentas sambil disorak oleh hadirin. Ini satu tragedi kepada umat Islam di Malaysia tatkala orang lain bertungkus lumus memulihkan keadaan dan emosi mereka yang diuji oleh Allah SWT dengan musibah banjir.

Sesungguhnya tragedi ini telah membuktikan arus ganas liberalisme iaitu satu fahaman yang cuba memenuhi semua kehendak manusia walaupun dengan cara meruntuhkan nilai – nilai agama dan budaya telah berjaya meruntuhkan tembok-tembok pemisah jati diri Islam yang telah dibina sebelum ini.

Seusai isu ini disebarluaskan di dalam media, maka antara perkara yang paling mudah dilakukan ialah menunjukkan jari telunjuk menyalahkan pihak itu dan pihak ini. Antara pihak yang sangat popular dipersalahkan dalam isu-isu ini ialah para Mufti, Jabatan Agama, Majlis Agama, para ulama dan para pendakwah. Walaupun tidak dinafikan mereka itu bukan maksum dan masih banyak perkara perlu diperbaiki, namun perkara asas yang wajib diinsafi ialah menegakkan Islam, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab semua pihak, tidak hanya dibebankan 100% kepada pihak-pihak yang disebutkan tadi. Selalunya pihak –pihak ini hanya dirujuk selepas berlaku. Mengapa tidak dirujuk sebelum diadakan program tertentu? Sebagai contoh: JAKIM telah mengeluarkan satu Garis Panduan Hiburan Dalam Islam semenjak tahun 2007, tetapi berapa banyak pihak yang merujuk garis panduan ini sebelum mengadakan acara-acara hiburan.

Sidang Jumaat Sekelian

Saya menyeru pihak yang sayang kepada Islam, syariat dan syiarnya, agar menilai sesuatu program yang akan diadakan mahupun bakal diluluskan samada ia membawa kebaikan dan keuntungan kepada Islam dan umat Islam atau sebaliknya. Janganlah kita menari mengikut rentak fahaman liberalisme yang menganggap apa jua garispanduan mahupun undang-undang yang mereka anggap menghadkan kebebasan  individu akan dikritik dan ditentang dan semua agensi yang ditubuhkan untuk menguatkuasakan undang-undang ini akan dilabelkan dengan berbagai-bagai label sepertimana mereka menuduh JAKIM menganjurkan fahaman ekstremisme melalui khutbah-khutbah Jumaat.

Jika sesuatu tindakan undang-undang terpaksa diambil oleh pihak berkuasa agama terhadap individu mahupun pihak yang menganjurkannya, maka akan muncullah barisan peguam-peguam pejuang hak asasi atau pejuang nafsu manusia dan dalam masa yang sama  masyarakat diajak untuk menganggap agensi agama hanyalah agensi penghukum sehingga tenggelam segala usaha diplomasi dan dakwah selama ini sedangkan penguatkuasaan undang-undang masih boleh dielak awal-awal lagi apabila pihak yang menganjurkan mahupun pihak yang meluluskannya merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa agama.

Kepada kerajaan khususnya kementerian yang berkaitan budaya Bollywood mahupun Hollywood ataupun budaya hiburan import dari Korea ini membawa pakej yang merbahaya kepada jati diri umat Islam jika tidak dikawal selia dengan baik. Kalau budaya Bollywood membawa fahaman pluralisme agama maka Kpop membawa sekali fahaman liberalisme dan Kristianisasi. Kajian rambang yang dilakukan oleh A. Karim Omar mendapati hampir 80% dari artis K pop beragama Kristian. Selebihnya terdiri dari golongan atheis, Buddha dan kepercayaan animisme. Kebanjiran filem Korea di stesen tv di Malaysia juga menyumbang kegilaan remaja wanita kepada artis artis ini. Bukan setakat aksi remaja muslimah yang rela dipeluk oleh artis Kpop ini kita minta supaya dihentikan bahkan adegan peluk cium para pelakon dan artis juga wajib diberhentikan.

Kepada ibu bapa awasilah anak-anak daripada teruja dengan budaya asing seperti Bollywood, Hollywood, gangnam style serta kpop dan lain-lain. Orang Korea mempunyai banyak sifat yang boleh dicontohi seperti kuat kerja, disiplin tetapi mengapalah budaya negatif juga yang diminati.

Pesanlah kepada anak-anak kita agar sentiasa menjaga kehormatan diri dan maruah Islam dan jangan jadikan perbuatan kita sebagai fitnah kepada Islam dan mereka yang benar-benar taat kepada Allah. Perbuatan muslimah yang bertudung sanggup untuk dipeluk dan dicium oleh lelaki yang bukan mahram telah mencemar dan membawa fitnah kepada mereka yang benar-benar ikhlas menjalankan syariat Allah dengan bertudung.

“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.” (Surah Al-Isra’ : 16)

Disediakan oleh Ustaz Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak
Yang Dipertua ISMA Ipoh

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?