Pembela akan cabar permintaan ekstradisi Sirul Azhar


PUTRAJAYA, 20 Jan – Pasukan peguam bela bekas Korporal Sirul Azhar Umar akan mengemukakan cabaran di mahkamah Malaysia jika pihak berkuasa meminta supaya beliau diekstradisi.

Peguamnya Kamarul Hisham Kamarudin berkata mengekstradisi Sirul Azhar untuk menjalani hukuman mati adalah bertentangan dengan perjanjian ekstradisi antara Malaysia dengan Australia.

“Saya pasti akan mencabar perkara itu di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan mahkamah di Putrajaya, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata buat masa ini semua itu hanyalah andaian dan ini bergantung pada langkah kerajaan seterusnya dan apa jua arahan Sirul Azhar.
Kamarul mengesahkan beliau masih mewakili Sirul Azhar walaupun katanya beliau lama tidak menghubunginya dan tidak pasti di mana dia berada.

Mahkamah Persekutuan, minggu lepas, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Sirul Azhar dan seorang lagi bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis Cif Inspektor Azilah Hadri, kerana pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Mahkamah itu membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos tahun lepas membebaskan Azilah, 38, dan Sirul Azhar, 43, atas tuduhan membunuh.

Kedua-dua tertuduh disabitkan kesalahan dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009, kerana membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi hari berikutnya pada 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 51, yang dituduh bersubahat bersama Azilah dan Sirul Azhar, dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008, selepas mahkamah itu mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap keputusan mahkamah itu.

Sirul Azhar gagal hadir di Mahkamah Persekutuan bila keputusan dibuat.

Berikutan itu, mahkamah tersebut mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul Azhar. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?