Ulamak bimbang PAS bertukar jadi parti sekular
BANGI, 19 Jan – Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri membayangkan kebimbangannya bahawa parti PAS bakal bertukar menjadi parti sekular.
Dalam satu entri blognya bertarikh 17 Januari, Dr Khairuddin menceritakan bagaimana sebuah parti Islam di Morocco iaitu parti Istiqlal (Parti Kebebasan) telah bertukar menjadi parti sekular setelah dimasuki pemimpin berfikiran liberal dan membentuk kerajaan bersama dengan parti sosialis.
“Kemasukan pemimpin yang berfikiran liberal dalam tampuk kepimpinan parti hingga akhirnya mereka menguasai kepimpinan telah merubah parti Istiqlal daripada berdasarkan Islam kepada parti berfikiran liberal dan kemudiannya bertukar pula menjadi parti sekular.
“Parti Istiqlal dilihat telah meninggalkan banyak dasar Islam apabila membiarkan pelbagai dasar bercanggah dengan Islam menjadi sebahagian dasar negara Morocco terutamanya di era kompromi dengan parti sosialis membentuk kerajaan bersama dari tahun 1992-2007,” tulis beliau seperti yang diceritakan kepadanya oleh Dr Abd Salam Ballahi, Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan dan Pembangunan Morocco (Harakah Islah Morocco) ketika Konvensyen Ahli Parlimen Islam di Turki pada 9-10 Jan 2015.
Katanya, maklumat ini adalah sama seperti yang pernah disebut oleh Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini.
Parti Istiqlal diasaskan oleh salah seorang tokoh ulama dan tokoh gerakan Islam semasa iaitu Syeikh Allal bin Abdul Waahid al-Fasi (lahir 1910 – meninggal 1974). Beliau mempunyai puluhan karya tentang Islam termasuk di bidang Maqasid dan Usul Fiqh.
Selepas meninggal dunia pada tahun 1974, penggantinya, Muhammad Buusittah yang memimpin parti sehingga 1998 telah merubah parti daripada berasaskan Islam kepada bersifat kebangsaan.
Pada tahun 1992, Parti Istiqlal membentuk Pakatan Demokrasi bersama Parti Kesatuan Sosialis dan berjaya mendapat kuasa bersama pada tahun 1998 dan 2002.
Kesannya pada pertengahan 70an dibentuk satu gerakan Islam yang baru di Morocco sehingga akhirnya secara rasmi dinamakan Harakah Tauhid dan Islah pada tahun 1996.
Mereka mencari ruang menubuhkan parti Islam yang baru dengan mengambil alih sebuah parti kecil yang berdaftar bernama Harakah Sya’biyyah Dusturiyyah Demokratiyyah pada tahun 1996 lalu diubah nama kemudiannya menjadi Hizbul Adaalah wa Tanmiyah (Parti Keadilan dan Pembangunan).
Parti Islam yang baru ini akhirnya berjaya mendapat kuasa mengalahkan Parti Istiqlal yang telah menjadi sekular pada tahun 2012 dengan mendapat 107 kerusi parlimen manakala Parti Istiqlal hanya mendapat 47 kerusi parlimen.
Parti Keadilan berjaya menjadi parti pemerintah baru Morocco atas nama Islam bukan atas nama sekular atau liberal sehingga hari ini, 2015.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan