14 Februari: Say NO to Valentine!
Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day- Portal Rasmi Fatwa Malaysia
“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.”
Valentine’s Day
Saban tahun, membicarakan soal Valentine. Anehnya, peringatan demi peringatan perihal “KATAKAN TIDAK PADA VALENTINE” dilihat masih kurang membuahkan hasilnya. Tidak perlu saya mengulas panjang tentang sejarah Valentine’s Day, umum mengetahui, bahawa tarikh 14 Febuari bukanlah sekadar hari meraikan kasih sayang. Akan tetapi merupakan budaya buruk yang diimport dari barat. Budaya ini merusak akhlak muslimin, dan tidak sesuai dengan cara hidup Islam.
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Realiti hari ini
Dewasa ini, budaya “couple” sebelum berkhahwin kian menjadi trend masyarakat. Lalu diabaikan batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Terlalu banyak kelibat pasangan anak muda yang berdua-duaan secara terang-terangan, berpimpin tangan serta bergurau manja di khalayak ramai. Tidak cukup dengan itu, dikhabarkan pula kisah percintaan mereka buat umum. Tanpa rasa bersalah, gambar mahupun video pendek mesra turut dimuat naik membanjiri newsfeed facebook dan Instagram.
“alaa, kitorang couple je, bukan zina pun,..”
“Hello, sambut Valentine untuk celebrate pure love!..”
“……excuse me, kenapa you’all ni kalau sebut pasal Valentine je terus fikir tentang tangkap khalwat//maksiat/ anak luar nikah?”
“jangan sibuk jaga tepi kain orang la, bukannya kitorg ni tak tahu halal haram..” erk?!
“rileks sudah..”
Kasih Sayang yang dianjurkan dalam Islam
Islam merupakan agama fitrah dan sempurna, tidak pula memusuhi cinta. Malah sentiasa menganjurkan kasih sayang buat seluruh umat.
Dari Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga perkara, yang apabila ketiganya terdapat dalam diri seseorang, maka ia akan merasakan manisnya iman. (Yaitu menjadikan) Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada selainnya. Dan mencintai seseorang, tidak mencintainya melainkan hanya karena Allah SWT. Serta ia benci untuk kembali kepada kekafiran setelah Allah selamatkan ia daripadanya, sebagaimana ia benci untuk dilemparkan ke dalam api neraka.”
(HR. Bukhari Muslim)
Masih jelas terngiang-ngiang kisah perjuangan Rasulullah SAW yang menahan kelaparan dengan mengikat perutnya dengan batu, begitu cekal hati dan tabahnya susuk itu menerima lontaran batu dan najis, luka oleh nan tajamnya duri-duri di jalanan, dan di medan jihad demi menyampaikan cahaya kebenaran buat ummat tercinta. Keindahan pekerti Rasulullah SAW bukan sahaja dinikmati oleh generasi yang hidup bersama-samanya, tetapi menjangkaui spektrum waktu. Cinta Baginda turut menyentuh hati kita.
“Cinta tidak semestinya bertemu. Cinta tidak semestinya bersama. Dimensi cinta ialah ukuran rasa, bukan oleh jarak yang jauh atau masa yang panjang dan pendek. Cinta merombak batasan masa, jarak dan ruang.”
Perasaan kasih sayang dan saling mencintai sesama manusia kerana Allah merupakan akar umbi dalam konsep persaudaraan. Cinta mereka akan selalu berkembang dan tidak pernah kurang kerana akar cinta tersebut adalah bebas dari segala sesuatu kecuali Allah. Itulah hakikat cinta sejati dalam Islam. Yakni, hakikat cinta di atas dasar keimanan pada Allah, yang berpenghujung kepada kebahagiaan yang abadi. Justeru, mereka ini bertemu dan berpisah kerana Allah malah tidak akan mencintai orang yang tidak dicintai bahkan dibenci Allah SWT.
“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).”
(Az-Zukhruf;67)
Kesimpulan
Dari Anas r.a. berkata: Seorang Arab bertanya kepada Rasulullah saw, “Bilakah hari kiamat?” Rasulullah saw menjawab, “Apakah bekalmu untuk menghadapinya?” Ia menjawabnya cinta kepada Allah dan Rasul-Nya maka Rasulullah saw bersabda, “Engkau akan berkumpul dengan orang yang engkau cintai.”
(Bukhari – Muslim)
Jelas disini, kasih sayang yang dianjurkan Islam berobjektifkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, serta masyarakat yang harmoni dan stabil. Kerana kasih sayang fillah ini adalah CARA HIDUP muslim. Dan sesungguhnya, kita tidak memerlukan tarikh tertentu SEPERTI Valentine’s Day untuk meraikan kasih sayang.
Oleh :
Sabrina Najwa Mohamad Ashari,
Timbalan Exco Dakwah ISMA INDIA
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan