‘One Soul One Quran’ bukan untuk ditakuti
Membantu ke arah keamanan dan keharmonian dunia sejagat yang lebih mantap dan berkekalan serta memberi lebih kefahaman kepada bukan Islam mengenai ajaran Islam sebenar.
Usaha ini ada kaitan dengan beberapa peristiwa yang mengaitkan ekstremis Islam dan Islamophobia berikutan kejadian beberapa pihak dalam Islam sendiri yang bertindak di luar garis ditetapkan Islam, termasuk melakukan pembunuhan, serangan bunuh diri dan kekejaman kumpulan Islamic State.
Inilah objektif sebenar pelaksanaan projek One Soul One Quran yang dilaksanakan oleh Islamic Information & Services Foundation berpangkalan di Kuala Lumpur, yang mesti difahami oleh penganut Hindu, Buddha, Kristian atau apa agama sekali pun.
Projek itu dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengedaran sejuta naskhah al-Quran terjemahan yang turut dibuat dalam dalam bahasa Tamil dan Mandarin itu tidak sepatutnya dipandang serong kerana melaluinya semua pihak akan dapat memahami bagaimana Islam yang dikehendaki dalam al-Quran.
Sekiranya, mereka masih kurang jelas maka mereka boleh meminta cerdik pandai Islam untuk membuat tafsiran terhadap sesuatu ayat dalam al-Quran itu.
Namun, perlu diingat bahawa usaha One Soul One Quran ini tidak boleh disamakan dengan usaha menerbitkan Bible dalam bahasa Melayu atau penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu.
Dalam hal ini penulis bukan bersikap bias, tetapi berharap Gerakan Hormat Semua Bangsa dan Agama (RARE) Malaysia atau Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST), memahami kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, manakala agama-agama lain boleh diamalkan.
Sebagaimana yang disebut oleh Pengarah Program One Soul One uran, Sabariah Abdullah, objektif projek itu adalah membantu ke arah keamanan dan keharmonian dunia sejagat yang lebih mantap dan berkekalan, selain usaha membantu menangani masalah salah faham mengenai mesej al-Quran dan ajaran Islam sebenar.
“Program ini membantu mengeratkan hubungan antara pelbagai bangsa dan agama di negara kita, sekali gus menyumbang ke arah pengukuhan semangat muhibah dan penyatuan nasional. Seterusnya mengukuhkan semangat dan metodologi kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, pertubuhan bukan kerajaan dan badan korporat dalam usaha memantapkan proses penerangan mengenai Islam kepada semua pihak,” katanya.
Pelaksanaan projek itu keseluruhannya empat tahun lima bulan bermula Januari tahun ini hingga Jun 2019 dengan anggaran perbelanjaan keseluruhannya mencecah RM11.5 juta. Format al-Quran untuk projek itu berdasarkan Projek Quran untuk hotel Saba Islamic Media yang sudah lebih 15 tahun diguna pakai di hotel ternama di negara kita.
Format berciri moden ini terbukti kelebihannya dari segi penerimaannya oleh pembaca bukan Islam khasnya, tanpa menghampakan masyarakat beragama Islam yang mahu berqira’ah secara kaedah tradisional.
Ayat tertentu akan dikaji selidik dari aspek aplikasi dan relevannya kepada isu masa kini serta dilengkapi penjelasan berdasarkan sumber sahih, mantap dan terkini. Sebagai contoh, ayat yang sering disalah tafsir secara sengaja oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan lagi Islamophobia, akan diberi perhatian dan penerangan khusus menerusi nota khas.
Semua maklumat akan ditentukan kesahihannya oleh panel yang arif termasuk pakar terjemahan al-Quran sebelum diguna pakai.
Sabariah berkata, terjemahan ke dalam empat bahasa akan diterbitkan dengan tumpuan lebih kepada bahasa Inggeris kerana kumpulan sasaran terbesar adalah mereka yang berpendidikan tinggi dan berkomunikasi menggunakan bahasa antarabangsa itu.
Pengarang Kanan ISMAweb
Penafian: Artikel ini tidak mewakili pandangan rasmi ISMA, tetapi adalah pandangan ISMAweb
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan