Bahasa Inggeris penting untuk dakwah kepada golongan sasar: Dr Rafidah
Oleh Team Wartawan Media Isma Sdn Bhd
Gambar-gambar oleh Unit Foto Media Isma Sdn Bhd
KELANA JAYA, 21 Mac – Penggunaan bahasa Inggeris dalam medium dakwah perlu diperluaskan lagi, terutama bagi memberi maklumat kepada kumpulan yang lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan harian mereka.
Sehubungan itu, Wanita ISMA menyarankan supaya penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium dakwah selain bahasa Melayu diperluaskan bagi menarik lebih ramai pembaca memahami dakwah yang disampaikan oleh ISMA.
Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar yang mewakili Wanita ISMA ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Mesyuarat Agung ISMA kali ke-14 di Auditorium Angkasa di sini, hari ini, berkata:
“Gerakan evangelis, sekularisme, liberalisme dan pluralisme menyasarkan golongan yang berbahasa Inggeris dalam menyampaikan ideologi mereka.
“Kita juga berhadapan dengan portal-portal berbahasa Inggeris yang memberikan takrifan yang salah mengenai Islam.”
Beliau yang juga Ketua Unit Penerangan Wanita ISMA memberitahu pernah menerima undangan temu ramah bersama sebuah stesen radio luar negara yang berminat untuk mengetahui gerak kerja dakwah Islam selepas membaca tulisan beliau di dalam bahasa Inggeris.
“Ini menunjukkan kepentingan bahasa Inggeris di dalam memacu dakwah kepada golongan yang hanya membaca dan berbahasa dalam bahasa Inggeris, namun tidak mempunyai sumber rujukan yang tepat mengenai Islam,” katanya.
Beliau menjelaskan bahasa Inggeris adalah bahasa dakwah kedua utama di dunia selepas bahasa Arab dan merupakan bahasa dakwah kedua di Malaysia selepas bahasa Melayu.
“Acap kali orang luar tiada pilihan lain selain merujuk kepada portal-portal ini (liberal dan pro Barat) untuk mendapatkan gambaran mengenai Islam.
“Dengan bahasa Ingeris, kita mampu untuk menarik lebih banyak golongan memahami Islam tanpa perlu merujuk kepada media alternatif yang jelas terpesong,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan