Eric Paulsen ditahan pertikai hukum hudud
BANGI, 23 Mac – Peguam hak asasi Lawyers for Liberty, Eric Paulsen, yang pernah menimbulkan kontroversi kerana mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempromosikan fahaman ekstremis di negara ini menerusi khutbah Jumaat, ditahan mengikut Akta Hasutan, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisionar Zainuddin Ahmad, berkata Paulsen ditahan di ibu negara kira-kira pukul 5.30 petang dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, untuk siasatan lanjut.
Katanya, Paulsen ditahan di Dataran Merdeka mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 bagi membantu siasatan berhubung kenyataan beliau di media sosial mengenai hukum hudud.
Paulsen dipercayai membuat catatan di akaun Twitternya yang berbunyi:
“Hukuman hudud tidak ada tempat pada zaman ini/masyarakat moden kerana ia melibatkan penyeksaan, hukuman kejam dan tidak berperikemanusiaan.“
“Sebaliknya yang benar, hudud menjadi perkataan yang menunjukkan ketidakadilan terutamanya terhadap kanak-kanak perempuan dan wanita.”
Zainuddin berkata, catatan tersebut adalah satu penghinaan dan boleh menggugat ketenteraman awam.
Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau undang-undang hudud yang terpakai kepada hanya orang Islam mukallaf jika ia dilaksanakan di negeri itu kelak.
Januari lalu, Eric mengeluarkan kenyataan menerusi laman sosial Twitternya dengan menuduh JAKIM menyebarkan fahaman ekstrem pada setiap Jumaat yang dipercayai merujuk kepada khutbah solat Jumaat kepada umat Islam.
Eric menerusi catatannya berkata:
“Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia“.
Berikutan tuduhan itu, pada Februari, Paulsen didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tetapi mengaku tidak bersalah. Dia dikenakan jaminan RM2,000 dan kesnya akan disebut pada 27 April ini.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan