Hezbollah, Iran bantu militan Syiah Houthi Yaman
Rakyat Yaman keluar beramai-ramai di sebuah bandar sambil mengibarkan bendera negara itu dan bendera Arab Saudi sebagai tanda menyokong serangan pakatan negara Arab ke atas puak militan Syiah Houthi.
JEDDAH, 28 Mac – Sasaran utama operasi ketenteraan oleh pakatan negara Arab diketuai Arab Saudi ke atas Yaman adalah menyekat laluan penghantaran bantuan kepada puak Syiah Houthi, kata pegawai kanan Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Brigediar Jeneral Ahmad Assiri.
Beliau berkata, tentera udara Emiriah Arab Bersatu (UAE) melakukan banyak serangan terhadap kedudukan dan tempat persembunyian militan Syiah Houthi, termasuk menggunakan senjata lebih canggih bagi mengelakkan kecederaan orang awam.
“Serangan udara itu akan berterusan sehingga objektifnya tercapai. Setakat ini tentera pakatan negara Arab belum merancang melakukan serangan melalui darat.
“Serangan udara semalam banyak tertumpu di sekitar pangkalan tentera udara Al-Anad berhampiran Aden. Terdapat pergerakan militan Syiah Houthi di kawasan itu. Pangkalan itu kini sudah dikuasai oleh tentera yang menyokong Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi,” katanya.
Ahmad Assiri berkata, serangan berterusan terhadap laluan bantuan menyebabkan militan Syiah Houthi tidak lagi dapat menghantar bekalan dari Sanaa ke Saada.
“Pesawat peninjau pakatan Arab sentiasa melakukan rondaan udara dan setiap pergerakan militan itu diawasi,” katanya.
Katanya, penduduk Yaman diminta menghindari kawasan konflik.
Sementara itu, satu laporan memetik kenyataan Duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat, Adel Al-Jubeir, berkata Hezbollah yang berpangkalan di Lebanon menggerakkan militan Syiah membantu puak Houthi menghadapi serangan pakatan negara Arab.
“Kami menerima laporan risikan mengatakan Iran memberi sokongan senjata, latihan dan nasihat ketenteraan kepada Syiah Houthi, manakala militan Hezbollah turut memainkan peranan yang sama,” katanya.
Adel Al-Jubeir berkata, tindakan pertama militan Syiah Houthi selepas menguasai Sanaa ialah membebaskan anggota Pengawal Kebangsaan Iran dan militan Hezbollah yang ditahan di penjara Yaman.
“Ini adalah perang bagi mempertahankan kerajaan yang sah dan melindungi rakyat Yaman daripada dikuasai oleh militan Syiah Houthi yang disokong oleh Iran dan Hezbollah,” katanya.
Di MAKKAH, Imam Besar Masjidil Haram, Osama Al-Khayyat dalam khutbah Jumaatnya berkata, tindakan yang diambil oleh Raja Salman membantu umat Islam di Yaman dan melindungi negara itu daripada ancaman golongan penindas, bertepatan dengan pendirian Islam.
“Langkah yang disokong oleh masyarakat dan pemimpin dunia mampu menyekat tindakan musuh yang memberi ancaman kepada Yaman serta keamanan di rantau Teluk.
“Apa yang penting ialah umat Islam mesti sentiasa bersatu padu ketika dalam bencana dan peperangan. Orang yang beriman mesti mengelak daripada pertikaian, bekerja keras dan menolak propaganda pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi,” katanya.
Di MADINAH, Imam dan Khatib Masjid Nabawi, Sheikh Hussein Al-Asheikh, pula berkata situasai di Yaman telah menyebabkan keadaan huru hara yang boleh mengancam keselamatan, termasuk di negara Islam yang berjiran.
“Perang saudara itu bukan saja mengancam penduduk malah boleh menyebabkan negara menjadi huru-hara,” katanya yang turut bimbang dengan ancaman dalam negara beberapa negara Islam lain.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan