Hudud: ISMA Melaka sokong Ketua Menteri


Oleh Mimi Atieqa Noor Azam
Wartawan Ismaweb Melaka

BATU BERENDAM, 24 Mac – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Melaka menyokong penuh kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron bahawa tidak mustahil kerajaan negeri itu mengikut langkah Kelantan melaksanakan undang-undang hudud jika umat Islam di negeri itu melebihi 92 peratus.

Yang Dipertua ISMA Melaka, Ir Haji Mohd Khoushaini Mohd Naim, berkata pelaksanaan hukum hudud mendapat sokongan umat Islam dan ia sudah lama dinantikan.

Minggu lalu, Idris berkata, bagaimanapun Melaka hanya mempunyai kira-kira 59 peratus penduduk Islam dan selebihnya bukan Islam sekali gus perlu melihat kepada majoriti agama agar sistem perundangan negeri itu bersistematik.

Haji Mohd Khoushaini berkata, kerajaan negeri boleh mengambil model negara Islam Madinah suatu ketika dahulu bagi melaksanakan undang-undang hudud, termasuk kepada orang bukan Islam.

“Cukup status Malaysia sebagai negara Islam dan mempunyai majoriti orang Islam. Maka kita boleh mengambil model negara Islam Madinah di mana hudud boleh dilaksanakan kepada orang bukan Islam.

“Jika mereka difahamkan dengan betul, saya yakin hudud melindungi kepentingan semua sama ada Islam dan bukan Islam. Bahkan ini sudah terbukti dalam sirah,” katanya.

Beliau berkata, hudud berasal dari kata hadda yakni pembatasan atau pencegahan yang mana bentuk dan kadar hukumannya telah ditetapkan oleh syarak untuk dilaksanakan bagi menjaga hak Allah sama ada melalui al-Quran atau sunah Nabi Muhammad SAW.

“Ia dikenakan ke atas pesalah yang telah melakukan kesalahan tertentu yang dikategorikan dalam jenayah hudud.

“Melaksanakan hukum hudud ini adalah wajib dan dikira sebagai hak Allah.

“Menurut Abdul Qadir Audah dalam kitab Jinayat, maksud hak Allah ialah seksaan itu tidak boleh digugurkan (dimaafkan ) sama ada oleh individu atau masyarakat,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?