Israel belum serah wang rakyat Palestin
SHARM EL-SHEIKH, (MESIR), 29 Mac – Presiden Palestin, Mahmud Abbas tidak yakin Israel di bawah Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu akan menyalurkan semula lebih AS$100 juta pendapatan bulanan bagi hasil cukai terkumpul yang menjadi hak milik rakyat Palestin, seperti dijanjikan.
“Mereka (Israel) mengumumkan akan memberi wang yang menjadi hak rakyat Palestin, tetapi hingga kini mereka tidak membuat apa-apa bayaran.
“Mungkin mereka akan mengenakan 1,001 syarat sebelum menyerahkan wang itu,” katanya pada sidang Liga Arab di sini, hari ini.
Kelmarin, kerajaan Netanyahu berkata mereka akan membuat bayaran ratusan juta ringgit pendapatan bulanan bagi hasil cukai terkumpul milik Palestin yang dibekukan sejak Januari lalu.
Israel bagaimanapun, tidak menyatakan sama ada akan meneruskan bayaran bulanan sekitar AS$127 juta sebulan iaitu duti kastam yang dikenakan ke atas barangan hendak dihantar ke pasaran Palestin yang masuk melalui pelabuhan mereka.
Rejim Yahudi itu juga tidak menyatakan jumlah sebenar hasil cukai terkumpul yang akan dikembalikan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA), tetapi menyatakan bahawa mereka akan memotong hutang tertunggak ke atas perkhidmatan elektrik, air dan kemudahan perubatan.
Mahmud Abbas berkata, Israel mengutip cukai itu atas nama Palestin dan mengenakan caj tiga peratus sebagai yuran perkhidmatan.
“Mereka mengutip AS$100 juta dan mengambil AS$3 juta. Jika membuat keputusan melucutkan hak kami dengan membekukan wang itu ia tidak memberi apa-apa perbezaan kepada mereka,” katanya.
Palestin bakal menjadi anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Rabu ini dan bersedia untuk meneruskan tindakan perundangan terhadap Israel kerana jenayah di Gaza dan pembinaan kawasan perumahan di tanah Palestin yang diduduki.
Mahmud Abbas sebelum ini menyatakan keengganan Israel menyerahkan hasil cukai terkumpul itu mungkin menyebabkan hubungan PA dan Israel termasuk penyelarasan keselamatan mungkin digantung. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan