Klip video: Aisyah Tajuddin tampil mohon maaf


Aisyah dalam satu aksi yang dimuat naik pada 19 Mac lalu berjudul ‘Ku Li – Siapa makan cili, dialah terasa pedas!’

BANGI, 23 Mac – Pengacara BFM, Aisyah Tajuddin (gambar), yang menimbulkan kontroversi selepas sebuah klip video yang didakwa mempertikaikan hukum Allah Taala dimuat naik dalam laman Facebook (FB) minggu lalu, hari ini tampil memohon maaf atas apa yang berlaku.

Beliau melahirkan kekesalan yang amat sangat selepas menyedari klip video berkenaan menimbulkan kemarahan ramai.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf bagi nada dan cara penyampaian saya di dalam video tersebut. Saya tiada niat untuk mengherdik.

“Saya tiada niat untuk menghina. Namun, kini saya sedar bahawa ia telah menimbulkan kemarahan. Maka untuk itu, saya benar-benar kesal dan memohon maaf.

“Saya tidak akan pernah, dalam apa-apa keadaan sekali pun, menghina atau mengutuk mana-mana agama apa lagi agama saya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sejak klip video berkenaan diterbitkan, pelbagai ancaman bunuh dan rogol telah ditujukan kepadanya, keluarga, teman sekerja serta rakan-rakan dan ianya sangat mendukacitakan.

“Mengharungi betapa bahayanya ancaman terhadap keselamatan diri ini merupakan pengalaman yang buruk dan bukan ciri-ciri Malaysia yang saya tahu,” katanya.

Klip video 1:55 minit yang dimuat naik dalam laman Facebook (FB) pada 19 Mac lalu yang mana Aisyah terbabit sebagai pengacara dan didakwa mempermainkan undang-undang hudud yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada hari yang sama.

Perbuatan dan tindakan pengacara terbabit mendapat reaksi hebat hingga ada laporan mengatakan beliau turut menerima ugutan bunuh dan rogol. Berikutan itu polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan menimbulkan suasana tidak harmoni dan perpecahan di kalangan masyarakat.

Malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri mengatakan bahawa apa yang diucapkan oleh Aisyah sebenarnya boleh dianggap mempersendakan agama Islam yang tentunya melukai perasaan ramai orang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Mengulas lanjut Aisyah berkata, objektif sebenar video tersebut adalah untuk mempersoalkan keutamaan kerajaan Pas Kelantan dan tidak sekalipun berniat menghina Islam.

“Setelah beberapa hari yang lalu, sebuah video di mana saya bercakap mengenai pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah 1993 telah menyebabkan kemarahan di dalam laman-laman media sosial. Video tersebut hanya menyangkut perihal politik, perkataan dan perbuatan ahli politik dan tentunya tidak sekali-kali mengenai agama,” katanya.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang turut bersimpati dengan nasib menimpa Aisyah turut berbesar hati menawarkan pakej tarbiah kepada beliau bagi memberi peluang kepadanya untuk mendapatkan kefahaman Islam yang sahih dan syumul.

Ketua Penerangan ISMA, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman, berkata laluan masih terbuka untuk Aisyah kembali ke pangkal jalan dan tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukannya.

“ISMA amat bersimpati ke atas nasib Aisyah dan golongan seumpamanya yang gagal mendapat pendidikan Islam yang sempurna sehingga membawa kepada salah faham dan tindakan yang bersalahan dengan ajaran agama,” kata Ustaz Hazizi.

Sementara itu, tujuh pertubuhan bukan kerajaan bergabung membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Aisyah kerana didakwa menghina Islam, hari ini.

Tujuh NGO berkenaan terdiri daripada Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Majlis Bendahara dan Akhlak Rahsia Cekal (ARC).

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?