Pengampunan ditolak, Anwar hilang kelayakan Ahli Parlimen
KUALA LUMPUR, 1 April – Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dimohon Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat.
Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh, berkata Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan Anwar dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac lalu.
Berikutan itu, Anwar hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen berdasarkan Perkara 48 (4) (c) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas).
Anwar adalah anggota Parlimen Permatang Pauh.
Amarjeet Singh berkata, berikutan itu, mahkamah menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang melarangnya menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri Amarjeet Singh dan peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar.
Amarjeet Singh berkata, Hakim Asmabi menolak permohonan Anwar dengan kos RM3,000.
Pada 24 Februari lepas, isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha menyerahkan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Sementara itu, Latheefa berkata, sepucuk surat yang dialamatkan kepada Pengarah Penjara telah menyatakan keputusan lembaga pengampunan itu bahawa ‘hukuman yang dikenakan ke atas banduan hendaklah diteruskan’.
Katanya, bersama surat itu dilampirkan afidavit yang diikrarkan oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nursiah Arshad.
Afidavit itu menyatakan bahawa petisyen Pengampunan telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan pada 16 Mac lalu, baginda serta Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah bermesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan