Polis serbu The Malaysian Insider, tahan tiga pengarang

Pengarang Urusan The Malaysian Insider, Lionel Morais (tengah); Pengarang Berita Bahasa, Amin Shah Iskandar (kiri) dan Pengarang Analisis dan Rencana, Zulkifli Sulung ditahan selepas polis dan anggota SKMM menjalankan siasatan di pejabat portal berita itu petang tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Polis hari ini menahan Pengarang Urusan The Malaysian Insider, Lionel Morais; Pengarang Berita (Bahasa), Amin Shah Iskandar dan Pengarang Analisis dan Rencana, Zulkifli Sulong berhubung berita bohong mengaitkan Majlis Raja-Raja dengan hudud.

Mengikut laporan portal berita liberal dan pro Barat itu yang disiarkan pukul 7.01 malam tadi, polis bersama sepasukan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerbu pejabat The Malaysian Insider di Mutiara Damansara dan membuat tangkapan.

Penangkapan itu dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan selepas polis menerima aduan pejabat Penyimpan Besar Mohor Raja-Raja, minggu lalu.

Kira-kira 12 pegawai polis dan SKMM tiba di pejabat portal berita berkenaan pada pukul 5.52 petang tadi dan mengambil masa kira-kira setengah jam memeriksa komputer digunakan pengarang sebelum menyoal siasat Morais, Amin dan Zulkifli.

Peguam Syahredzan Johan yang turut berada di pejabat itu memberitahu siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

25 Mac lalu, portal berkenaan melaporkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, undang-undang Persekutuan yang perlu dipinda kerajaan PAS Kelantan bagi membolehkan pelaksanaan hudud.

Berikutan itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuat laporan polis dipercayai merujuk kepada berita yang disiarkan itu selain satu berita penafian yang dikatakan dikeluarkan oleh pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Berita yang disiarkan oleh The Malaysian Insider 25 Mac lalu yang mengaitkan Majlis Raja-Raja dengan hudud.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam kiriman Twitternya 26 Mac lalu pula berkata, polis akan memanggil Ketua Pengarang The Malaysian Insider kerana portal itu dikatakan kerap melaporkan berita tidak betul dan mengelirukan.

Mengulas isu sama, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata The Malaysian Insider terus menerus mempromosi fitnah dan tohmahan untuk memecahbelahkan umat Islam di Malaysia.

Laporan itu juga mendapat kecaman pengguna laman Facebook (FB). Ada pengguna FB yang menasihatkan umat Islam terutama golongan muda supaya berhati-hati dengan berita dan laporan disiarkan oleh The Malaysian Insider serta portal berita liberal yang sealiran dengannya.

Semalam, Pemuda UMNO mendesak SKMM mengambil tindakan paling tegas mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia, terhadap The Malaysian Insider kerana kerap menyiarkan berita bohong dan fitnah.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata tindakan paling tegas perlu dibuat supaya menjadi pengajaran kepada mereka untuk tidak menyebarkan berita palsu.

Pemuda UMNO Kedah juga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, semalam meminta polis menjalankan siasatan terhadap portal berita berkenaan kerana menyiarkan laporan bohong mengaitkan Majlis Raja-Raja dengan hudud.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?