Tentera Laut Arab Saudi sekat Pelabuhan Aden
Bangunan di kem tentera Jabal al-Hadid di Aden, Yaman terbakar selepas dibom tentera pakatan negara Arab, semalam.
Pegawai Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Brigadier Jeneral Ahmad Al-Assiri, berkata langkah itu diambil selepas tentera pakatan negara Arab menguasai sepenuhnya ruang udara Yaman dan memusnahkan pangkalan udara yang diduduki pengganas Syiah Houthi.
“Sekatan itu bagi menghalang pergerakan kapal laut yang membawa senjata dan pengganas daripada masuk atau keluar dari Yaman.
“Serangan udara yang masuk hari ke lima kini menyasarkan depot simpanan peluru berpandu balistik, pertahanan udara, depoh peluru dan saluran bantuan selain mengawasi sempadan Arab Saudi-Yaman,” katanya.
Beliau berkata, tentera darat sudah diletakkan dalam keadaan siap sedia dan bakal digerakkan ke Yaman mengikut kesesuaian masa.
Ahmad Al-Assiri berkata, tentera pakatan melancarkan serangan mengikut rancangan bagi memastikan pengganas Syiah Houthi meletak senjata dan mengembalikan kuasa kepada kerajaan yang sah pimpinan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi.
Penduduk di Pelabuhan Aden yang bimbang dengan pertempuran membabitkan pengganas Syiah Houthi dan tentera pakatan negara Arab bersiap sedia berpindah ke kawasan selamat.
Sementara itu, beberapa negara termasuk Pakistan dan India menghantar pesawat dan kapal laut bagi mengeluarkan rakyat mereka yang terperangkap di Yaman.
Ahmad Al-Assiri berkata, pakatan tentera Arab menyediakan ‘laluan selamat’ dengan menghentikan operasi pada masa tertentu di sekitar lapangan terbang Hodeidah bagi membolehkan negara berkenaan membawa keluar rakyat mereka.
Pakistan telah menghantar pesawat awam dan kapal laut ke Yaman untuk membawa keluar lebih 500 rakyatnya, manakala India pula meminta bantuan Arab Saudi mengeluarkan kira-kira 4,000 warga negaranya dari negara bergolak itu. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan