Firma milik Emiriah Arab Bersatu bayar hutang 1MDB bersyarat
BANGI, Sabtu – Sebuah firma milik kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya Aabar Investments PJS bersetuju menyediakan AS$1 bilion bagi membayar hutang yang ditanggung oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Persetujuan itu dicapai dalam satu rundingan sebelum ketiga-tiga pihak menandatangani perjanjian yang menyaksikan 1MDB melepaskan pegangan unit yang dikatakan disimpan dalam BSI Singapore kepada IPIC.
IPIC ditubuhkan oleh kerajaan Abu Dhabi pada 1984 untuk melabur dalam bidang tenaga dan sektor lain di seluruh dunia. IPIC memiliki saham sebanyak 98.253 peratus dalam Aabar yang juga sebuah syarikat pelaburan beribu pejabat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Aabar pula memiliki 21.6 peratus saham dalam RHB Capital iaitu syarikat induk kepada RHB Banking Group, kumpulan syarikat kewangan kelima terbesar di Malaysia.
Bayaran yang disediakan oleh IPIC dan Aabar itu akan digunakan bagi membayar hutangnya berjumlah AS$975 juta lebih awal daripada tarikh ditetapkan sekumpulan bank antarabangsa yang memberi pinjaman kepada 1MDB.
Sebagai tukaran, 1MDB akan menyediakan kepada IPIC dan Aabar sejumlah aset kewangan termasuk unit yang dikatakan dimiliki dalam akaun simpanan BSI Singapore.
Mengumumkan persetujuan pembiayaan itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata IPIC dan Aabar dikehendaki menyediakan bayaran AS$1 bilion pada atau sebelum 4 Jun ini.
Ahmad Husni Hanadzlah
Beliau berkata, pinjaman itu turut membabitkan beberapa kaedah lain bagi pengendalian keseluruhan pelbagai aset kewangan serta transaksi liabiliti antara pihak terbabit dan butiran lanjutnya akan diumumkan kelak.
“Perjanjian ini adalah satu langkah signifikan bagi mengurangkan keseluruhan paras hutang 1MDB serta menjadi bahagian penting pelan rasionalisasi yang saya kemukakan kepada Kabinet hari ini yang kita jangka dapat dilaksanakan sepenuhnya menjelang awal tahun depan,” katanya.
Langkah itu adalah sebahagian pelan rasionalisasi dikemukakan Ahmad Husni kepada Kabinet semalam yang dijangka dapat dilaksanakan menjelang awal tahun depan.
Ahmad Husni sebelum itu membentangkan pelan rasionalisasi 1MDB kepada Kabinet yang menyaksikan 1MDB bakal dibubar selain penubuhan tiga syarikat beroperasi kendiri.
Kabinet dimaklumkan bahawa IMDB dijangka dibubarkan, tetapi cabaran utama ialah paras hutangnya yang tinggi berjumlah RM42 bilion dalam akaun kewangan terakhirnya.
“Sebagaimana yang dicapai dengan Edra Energy, ini akan menyaksikan TRX (Tun Razak Exchange) dan Bandar Malaysia diwujudkan sebagai syarikat yang berdiri sendiri, memiliki autonomi sepenuhnya serta mempunyai kebertanggungjawaban bagi prestasi operasi dan kewangannya.
“Sementara usaha berhubung Edra Energy diteruskan, Kementerian Kewangan akan terus kekal sebagai pemegang saham utama dalam TRX dan Bandar Malaysia dan melibatkan peningkatan ekuiti menerusi pelabur-pelabur pihak ketiga. Perolehan itu akan digunakan bagi tujuan perbelanjaan modal serta mengurangkan hutang 1MDB,” katanya.
Selain IPIC dan Aabar, kerajaan juga dikatakan berbincang dengan beberapa pihak lain bagi memperoleh dana untuk membayar semua hutang 1MDB.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan