IMEC 2015: ‘Tak perlu feminisme untuk bela wanita Islam’
Oleh Azri El
AMPANG, 9 Mei – Wanita khususnya yang beragama Islam tidak perlu terlibat dengan mana-mana ideologi Barat, termasuk gerakan feminisme untuk membela hak mereka.
Sebaliknya kata, tokoh debat antarabangsa The Muslim Debate Initiative (MDI), Zara Huda Faris, wanita hanya perlu menjadi muslim dengan mengambil ajaran Islam itu sendiri kerana ia cara paling tepat untuk membela hak wanita.
“Tidak perlu terlibat feminisme untuk memperjuang hak Islam.
“Jadilah Islam sebenar kerana Islam sememangnya membela hak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk ‘Feminism: Heroin(e) of the messes’, pada Persidangan Pemerkasaan Muslimah Antarabangsa (IMEC) Wanita Ikatan Muslim Malaysia (ISMA), di sini, hari ini.
Ketika ditanya Ismaweb mengenai kumpulan Sisters In Islam (SIS) kemudiannya, Zara menjawab kumpulan yang telah diharamkan Jawatankuasa Fatwa Selangor itu perlu mengubah pemikiran mereka.
Sebaliknya kata Zara, SIS perlu kembali kepada ajaran agama yang sebenar.
“Saya mengajak SIS untuk kembali kepada ajaran Islam dan tidak perlu kepada gerakan feminisme,” katanya sambil mendakwa telah mengenali SIS sejak lama ketika mengkaji gerakan feminisme di Malaysia.
Mengulas ancaman feminisme di negara ini, Zara menggesa umat Islam lelaki dan wanita berganding bahu untuk menolak fahaman ini.
“Lelaki dan wanita perlu berganding bahu bagi menghalang wanita dari mencari pemikiran lain untuk ‘membela’ dan ‘menyelamatkan’ mereka.
“Ini bukan kerja wanita sahaja,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan