Laporan Audit tak dapat dedah kaitan Jho Low, kekayaan Riza Aziz: Tun M
BANGI, Rabu – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemeriksaan Ketua Audit Negara terhadap akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dapat mendedahkan pembabitan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat penasihat pelaburan Hong Kong Jynwel Capital, Low Taek Jho atau Jho Low.
Beliau berkata, pemeriksaan itu juga tidak akan dapat menjelaskan dan mendedahkan bagaimana Riza Aziz (anak tiri Datuk Seri Najib Razak) mempunyai terlalu banyak wang sedangkan ketika itu wang 1MDB lesap.
“(Pemeriksaan itu) tidak akan menjelaskan transaksi lucu dengan Petro-Saudi, bank di Seychelles, Hong Kong dan Kepulauan Cayman.
“Kemudian wang dari Kepulauan Cayman dibawa balik dan disimpan di Singapura. Sekarang ini bank berkenaan mengatakan tiada wang yang disimpan di bank itu,” kata Tun Dr Mahathir dalam kiriman terbaru blog beliau.
Sambil menyifatkan kenyataan meminta rakyat supaya tidak bertanya apa-apa sehingga Ketua Audit Negara mengemukakan laporan, sebagai bodoh, Tun Dr Mahathir memberi bayangan seperti melihat seseorang melakukan rompakan dan orang ramai tidak boleh bercakap mengenainya.
“Meminta orang ramai supaya tidak bertanya sehingga Ketua Audit Negara mengemukakan laporan adalah bodoh. Ianya seperti melihat seseorang merompak dan orang awam mesti menunggu sehingga perbicaraan kes di mahkamah selesai sebelum boleh bercakap mengenainya,” katanya.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menangkis apa-apa persoalan yang ditimbulkan, malah jawapan yang diberikan adalah sama seperti dahulu.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya satu suruhanjaya ditubuhkan di mana ahli-ahlinya tidak dilantik oleh kerajaan untuk meneliti setiap urusan 1MDB.
Katanya, suruhanjaya itu bukan saja akan menyiasat 1MDB tetapi juga kerajaan yang secara jelas gagal memantau urusan 1MDB.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan