Profesor baca al-Quran ikut melodi, bahasa Jawa dikecam

VideoShows-Indonesian-Singing-Quran

Gambar daripada klip video menunjukkan orkestra Indonesia memainkan muzik mengiringi seorang penyanyi melagukan ayat-ayat suci al-Quran.

JAKARTA, Selasa – Tindakan seorang profesor sebuah universiti dari Yogyakarta mencetuskan kemarahan umat Islam Indonesia, apabila dia membaca al-Quran mengikut alunan melodi dan bahasa tradisi Jawa.

Alunan bacaan al-Quran itu dilakukan oleh Profesor Muhammad Yasser Arafat ketika sambutan Isra Mikraj di Istana Negara di sini, Sabtu lalu.

Berikutan itu, Timbalan Setiausaha Agung Majlis Ulama Indonesia, Tengku Zulkarnaen, berkata al-Quran telah menyatakan bahawa kitab suci itu diturunkan dalam bahasa Arab.

“Nabi Muhammad SAW juga bersabda bahawa al-Quran hendaklah dibaca dalam dialek Arab Quraish. Jadi ianya mesti dibaca dengan cara yang diperintahkannya,” katanya.

MUI adalah antara pertubuhan Islam utama yang mengecam bacaan al-Quran dengan cara itu dan dianggap memalukan Indonesia sebagai negara yang mempunyai paling ramai penduduk Islam di dunia.

Sambutan Isra Mikraj itu turut dihadiri Presiden Indonesia, Joko Widodo, tetamu beliau, termasuk pegawai kerajaan dan kenamaan negara asing.

Walaupun menerima kecaman meluas di negara itu, Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Lukman Hakim Saifuddin mempertahankannya dengan berkata, perbuatan itu bertujuan memelihara tradisi negara berkenaan.

“Membaca al-Quran dengan irama Jawa bertujuan memelihara tradisi Indonesia dan menyebarkan ajaran Islam ke seluruh negara,” kata Lukman Hakim kepada akhbar Tempo.

Kejadian itu bukan yang pertama berlaku kerana akhir Mei tahun lalu, tersebar klip video menunjukkan orkestra Indonesia memainkan muzik mengiringi seorang penyanyi melagukan ayat-ayat suci al-Quran.

Perbuatan itu menimbulkan kecaman di seluruh Indonesia, terutama dalam media sosial. Mereka menolak persembahan itu yang disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam dan kegagalan menghormati kitab suci al-Quran.

Di Malaysia, sebelum ini Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pernah menegur beberapa pendakwah yang disifatkan beliau sebagai ‘penglipur lara’ kerana berjenaka ketika berceramah serta menggunakan nama fasik seperti panggilan ‘Ustaz Bollywood’.

“Kita rasa sedih apabila pemerhatian dibuat, terdapat pendakwah yang jadi penglipur lara kerana berjenaka dalam ceramah, ada yang buat fatwa dengan begitu mudah. Dakwah seperti ini tidak memberi kesan kepada umat Islam. “Ada pula dipanggil pendakwah Bollywood, sedangkan Bollywood nama fasik.

Nama filem-filem yang menunjukkan perbuatan fasik. Tidak sesuai diberikan nama sebegitu,” katanya. – Agensi

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?