Qatar serah RM180 juta kepada Indonesia bantu pelarian Rohingya
DOHA, Jumaat – Qatar, sebuah negara kaya dengan hasil minyak dan gas, mengumumkan bantuan AS$50 juta (RM180 juta) kepada Indonesia untuk membantu pelarian muslim Rohingya yang mendarat di perairan negara itu.
Bantuan itu diumumkan Emir Qatar, Sheikh Tamim selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi di sini.
Dalam pertemuan itu, Sheikh Tamim diberikan penjelasan mengenai usaha Indonesia dan Malaysia dalam menghadapi masalah pelarian dari Myanmar dan Bangladesh.
Bantuan itu katanya, bagi menampung kos penempatan pelarian Rohingya.
Pertubuhan Migrasi Antarabangsa sebelum ini merayu bantuan AS$26 juta bagi membantu pendatang di Asia Tenggara.
Presiden Indonesia, Joko Widodo kelmarin berkata, Jakarta memerlukan bantuan antarabangsa untuk menampung kos penempatan golongan miskin di negara itu termasuk pelarian Rohingya.
Lebih 3,500 warga Rohingya dan Bangladesh yang menaiki kapal kayu diselamatkan di luar pantai Malaysia, Indonesia, Thailand dan Bangladesh sejak krisis meletus awal bulan ini.
Beribu-ribu Rohingya melarikan diri daripada penganiayaan oleh militan Buddha Myanmar, bersama-sama dengan warga Bangladesh yang ingin melepaskan diri daripada belengu kemiskinan.
Kerajaan Myanmar mengganggap 1.3 juta etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh, dan menafikan kewarganegaraan mereka. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan