Tun M beri Najib 2 pilihan: Bersemuka dengan MT, debat terbuka

tunM-najib-1

BANGI, Khamis – Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, sejak akhir-akhir ini berkata, beliau sedia berjumpa Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti bagi menjelaskan segala kritikan beliau itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dengan segala kritikan lantang dalam pelbagai isu termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebelum ini, MT UMNO sepatutnya memanggil beliau untuk memberi penjelasan.

“Presiden UMNO sepatutnya menjemput saya untuk memberi justifikasi kepada setiap kritikan selama ini. Biar semua ahli mendengar sendiri,” kata beliau seperti dilapor AstroAwani.

Laporan itu menyebut Dr Mahathir yang kini berada di Jepun, memberitahu perkara itu ketika dihubungi bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan malam tadi.

Meluahkan kekecewaannya, Dr Mahathir berkata, sehingga kini Najib masih enggan menjawab setiap persoalan yang dibangkitkannya.

Lebih mendukacitakan, kesediaannya untuk berdebat dengan Najib, tidak dijawab oleh Perdana Menteri itu.

“Bila buat penafian hanya secara umum saja. Najib tidak pernah memberi jawapan secara ilmiah dan berfakta selama ini,” ujarnya.

“Boleh buat siaran langsung debat itu di RTM atau mohon mana-mana syarikat televisyen swasta untuk menyiarkannya. Najib tidak boleh menggunakan saluran komunikasi sendiri untuk menghentam saya dari jauh,” jelasnya.

Najib katanya, melakukan banyak kesilapan sejak akhir-akhir ini termasuk dalam skandal 1MDB, malah penjelasan Perdana Menteri itu juga mengelirukan rakyat.

“Seperti contoh, Najib nyatakan tiada kaitan 1MDB dengan penglibatan jutawan Malaysia, Jho Low namun hakikatnya berlainan.

“Najib juga kata dana 1MDB disimpan dan dilabur di Kepulauan Cayman tetapi sehingga kini tiada bayangan di mana duit itu berada. Menteri Kewangan merangkap Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB kata sebahagian duit daripada Kepulauan Cayman yang ditebus disimpan dalam bentuk tunai USD1.103 billion di bank BSI Singapura tetapi bank tersebut menafikannya selain menyifatkan 1MDB memberi dokumen palsu,” katanya.

Bagaimanapun kata Dr Mahathir, segala kritikannya terhadap Najib dibuat secara ikhlas demi masa depan UMNO dan negara.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?