1MDB punca keyakinan terhadap pemimpin negara kian parah
BANGI, Selasa – Beberapa isu kontroversi kebelakangan ini, khususnya membabitkan syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menunjukkan keyakinan pasaran terhadap kepemimpinan negara kini semakin merosot.
Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata ironinya apa saja penjelasan yang diberikan oleh kerajaan mengenai isu 1MDB, nilai saham akan jatuh, ringgit merosot, harga barang naik dan kos hidup semakin tinggi.
Memuat naik ulasan dalam facebook beliau hari ini, pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, kerajaan telah memberi pelbagai jawapan mengenai isu 1MDB.
“Yang jelas kerajaan memberitahu tidak ada penyelewengan dan meminta kita menunggu laporan audit untuk mengetahui kedudukan sebenar kewangan 1MDB.
“Ironinya, apapun penjelasan kerajaan tentang 1MDB ini kita melihat kesan berikut iaitu nilai saham semakin jatuh, nilai ringgit semakin turun, harga barang semakin meningkat, dan kos hidup semakin tinggi.
“Semua ini menunjukkan satu perkara iaitu semakin parahnya krisis keyakinan pasaran kepada kepimpinan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas krisis dan kemelut yang melanda negara akibat berhutang berbillion-bilion ringgit dari bank dalam negara dan luar negara. Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah menafikan bertanggungjawab menyebabkan kerugian RM42 bilion dalam 1MDB.
Prof Agus berkata, banyak hutang 1MDB yang dijamin oleh negara.
“Yang menjadi pertanyaan ramai ialah mengapa begitu banyak hutangnya? Apakah jenis perniagaannya?
“Siapakah yang menguruskannya? Apakah berlaku penyelewengan?,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan