Ada pihak minat beli tanah 1MDB di Pulau Pinang, Selangor

1MDB akui kenyataan Tun M beri kesan kepada pelaksanaan pelan rasionalisasi

1mdb

KUALA LUMPUR, Selasa – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menerima beberapa cadangan untuk membeli tanahnya di Air Hitam, Pulau Pinang dan Pulau Indah, Selangor, kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Arul Kanda.

Katanya, cadangan itu susulan pengumuman syarikat pada 18 Februari lalu untuk menjana wang daripada dua bidang tanah itu melalui usaha sama atau jualan terus.

Hasrat itu kemudiannya disahkan dalam pelan rasionalisasi yang dibentangkan kepada Kabinet pada 29 Mei, katanya dalam satu kenyataan di sini.

“Oleh itu, 1MDB bercadang untuk melantik perunding hartanah bebas untuk membantu dalam mengkaji pelbagai cadangan tersebut. Pengumuman lanjut mengenai perkembangan terkini akan dibuat dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya.

Sementara itu, 1MDb mengakui beberapa kenyataan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi kesan kepada kepada pelaksanaan pelan rasionalisasi 1MDB yang diumumkan pada 29 Mei, 2015, yang bertujuan mengurangkan paras hutangnya dan memastikan nilai maksimum dijana untuk kerajaan.

1MDB mendakwa kenyataan mengelirukan, termasuk oleh pemimpin politik pembangkang memberi kesan kepada keupayaan 1MDB, syarikat milik penuh kerajaan, untuk terus menjalankan perniagaannya dan menyebabkan kerosakan kepada ekonomi yang lebih luas.

Sehubungan itu, 1MDB sekali lagi memberi respons kepada pelbagai tuduhan terhadap syarikat pelaburan negara itu susulan soalan sama dibangkitkan dan dakwaan dananya ‘hilang’ atau ‘tidak dapat dikesan’.

Dalam kenyataan itu, 1MDB menegaskan kedudukan yang dinyatakan sebelum ini, bahawa jika terdapat mana-mana salah laku, maka tindakan perlu diambil oleh pihak berkuasa yang sah, mengikut proses dan undang-undang negara.

Kenyataan itu menegaskan bahawa 1MDB merupakan subjek kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“PAC merupakan pihak berkuasa yang sah untuk mengesahkan sama ada RM42 bilion telah ‘hilang’ daripada 1MDB, berikutan ia mempunyai akses kepada semua maklumat. 1MDB percaya anggota PAC akan meneliti secara khusus kepada dakwaan ini dan memberi keputusan mereka untuk menyelesaikan perkara ini dengan muktamad,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?