Anak yatim yang berjiwa kuat
Oleh Shuhaimi Shaedon
KUANTAN, 29 Jun – Tujuan Allah jadikan anak yatim di kalangan kita serta mentakdirkan ibu dan bapa mereka meninggal dunia dahulu adalah untuk menjadikan mereka anak-anak yang berjiwa kuat.
Ahli Jawatankuasa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kuantan, Ustaz Mohd Ali Abdullah berkata, mengambil contoh dari Rasulullah S.A.W, baginda merupakan anak yatim piatu kerana kematian ayah, ibu dan datuknya ketika masih kecil.
“Ini menunjukkan bahawa Allah sengaja mematikan ayah dan ibu Rasulullah S.A.W supaya menjadikan baginda seorang yang berjiwa kuat untuk membawa ajaran Islam.
“Oleh sebab itu juga, Rasulullah tidak mengambil acuan pemikiran ayah dan ibunya untuk membawa ajaran Islam ini,” ujar beliau lagi.
Menurut Ustaz Mohd Ali juga, sambil merujuk kepada surah Al-Maun, kita hendaklah menghindarkan diri dari menjadi orang yang disebut sebagai orang yang membohongi agama yang dianuti.
Jelasnya, yang dimaksudkan di dalam surah ini adalah orang yang mengherdik dan bersikap kasar terhadap anak yatim dan orang miskin.
“Inilah cabaran bagi orang yang menjaga anak yatim atau orang miskin kerana Islam adalah agama yang menjaga mereka kerana Rasulullah S.A.W juga melalui zaman-zaman begitu.
“Kita sebagai masyarakat perlu membantu anak yatim dan orang miskin ini supaya mereka tidak rasa dipinggirkan oleh masyarakat,” ujarnya yang merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan.
Sambungnya lagi, ISMA sebagai sebuah pertubuhan sederhana juga mengambil sikap dan peranan ini untuk menghulurkan bantuan bagi menyatakan bahawa kita semua kena buat juga perkara ini.
Menurutnya, Islam adalah agama yang menuntut kita untuk berkorban dan memberi lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan