Harga ayam naik sebab penternak mahu kaut keuntungan besar
KUALA LUMPUR, Selasa – Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyifatkan alasan yang digunakan untuk menaikkan harga ayam setiap kali perayaan Aidilfitri tidak lagi boleh diterima.
Beliau berkata, alasan makanan ayam mahal dan permintaan tinggi berbanding bekalan diibaratkan sebagai ‘drama ulang tayang’ oleh para penternak.
“Alasan-alasan tersebut sudah tidak boleh diterima kerana digunakan saban tahun oleh para penternak bagi mengaut keuntungan pada musim perayaan.
“Walaupun harga ayam akan dikawal dalam tempoh perayaan, namun sebelum harga siling ditetapkan para penternak cuba memberi tekanan supaya harga ditetapkan kelak adalah tinggi dan tetap memberi keuntungan besar kepada mereka,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media semalam bahawa persatuan penternak ayam di beberapa negeri akan menaikkan harga ayam dengan alasan makanan ayam yang diimport mengalami kenaikan harga akibat kejatuhan nilai mata wang ringgit Malaysia di samping peningkatan permintaan menjelang Aidilfitri.
Katanya, jika benar kos makanan ternakan meningkat sejak beberapa tahun lalu, mereka sepatutnya sudah mencari jalan penyelesaian antaranya dengan menghasilkan makanan ayam sendiri supaya tidak lagi bergantung dengan import.
Justeru tambah Datuk Nadzim, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selepas ini perlu mempamerkan kos bersih semasa seekor ayam supaya pengguna boleh membuat perbandingan dengan harga ayam di pasaran.
Perkara yang sama diutarakan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman. Katanya, apabila menjelang perayaan, mulalah macam-macam alasan diberikan untuk menaikkan harga ayam.
“Makanan ternakan naik lah dengan tahun ini nilai mata wang ringgit yang rendah dijadikan alasan mengapa makanan ternakan import mahal.
“Mereka tahu permintaan terhadap ayam akan meningkat, jadi inilah masa untuk merebut peluang mengaut keuntungan besar.
“Sedangkan jika bukan musim perayaan, mereka boleh jual dengan harga rendah dan tidak pula mengalami kerugian besar atau tutup kedai,” ujarnya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan