Isu Rohingya kembalikan ingatan Melayu kepada sejarah silam
BANGI, Rabu – Kisah tragis pembantaian etnik Muslim Rohingya yang berlaku ketika ini di Myanmar mengembalikan ingatan orang Melayu Islam di Malaysia kepada sejarah dahulu.
Menjelaskan perkara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), sebuah pertubuhan Islam sederhana, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman, berkata terdapat perkaitan penting antara umat Islam Rohingya dan nenek moyang orang Melayu dari sudut pengalaman dan sejarah.
Katanya, apa yang dihadapi oleh etnik Muslim Rohingya telah juga dihadapi oleh bangsa Melayu satu ketika dahulu (sekitar 200 tahun lepas).
“Orang Melayu pernah dijajah, diusir dan dibunuh di negara sendiri oleh kelompok bangsa yang sama.
“Orang Maghs di Arakan dan puak Buddha Burma (Myanmar) yang bertanggungjawab membunuh orang Rohingya pada hari ini adalah berasal daripada kaum yang sama yang bertindak merampas wilayah Siam (kini Thailand) daripada kerajaan Melayu lama seperti Funan, Campa (kini Vietnam) dan Patani.
“Mereka juga melakukan pembunuhan di Kedah pada tahun 1821-1870 dengan kerjasama kumpulan kongsi gelap Gee Hin, Hai San serta British.
“Jadi, kisah Rohingya ini sepatutnya dapat mengembalikan semula ingatan orang Melayu terhadap pengalaman pahit yang dihadapi oleh nenek moyang mereka dahulu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas nasib umat Islam Rohingya yang menjadi mangsa pembantaian puak radikal Buddha Rakhine di Myanmar.
Ustaz Abdullah berkata, orang Melayu harus mengambil iktibar agar sejarah dahulu tidak berulang lagi.
Ini kerana isu Rohingnya bagi orang Melayu bukan sekadar sejarah kepada penderitaan yang dihadapi oleh saudara seagama yang diusir dan dibunuh dari tanah mereka.
“Bangsa Melayu bakal menerima sekali lagi nasib yang sama seperti yang dihadapi oleh etnik Muslim Rohingya jika mereka terus lalai dan berpecah-belah,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan